INILAH peluang terbaik pasukan bola sepak Harimau Malaya B-23 kembali ‘mengaum’ dan memastikan tiket secara merit ke aksi Piala Asia AFC B-23 2024 di Qatar diperoleh.
Ujian pertama berdepan Bangladesh cukup menarik untuk disaksikan seluruh pemerhati tempatan dan luar negara kerana tiga mata pertama menjadi misi genting mengenai hala tuju sepanjang kempen kelayakan di Chonburi, Thailand.
Malaysia pimpinan E Elavarasan perlu menang kerana selepas ini akan berdepan Filipina serta tuan rumah Thailand yang dilihat pilihan mara ke fasa berikutnya.
Ia sudah tentu akan membangkitkan tekanan tahap maksima, resah dan segalanya bukan sahaja buat para pemain tetapi para penyokong yang berada di hadapan kaca televisyen termasuk mereka yang mungkin melakukan rombongan ke negara jiran.
Bagaimanapun, menurut analisis jurulatih antarabangsa Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah, inilah peluang terbaik skuad B-23 mempamerkan kekuatan sebenar yang ada walaupun kemampuan Bangladesh tidak boleh diperkecilkan.
“Insya Allah mudah-mudahan pemain kita bermain pada tahap sebenar. Dua pemain yang berpangkalan di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine juga berada dalam skuad.
“Saya berharap Malaysia menang kerana penjaga gawang Bangladesh, Mehedi Hasan Srabon hanya berusia 18 tahun yang merupakan keeper termuda di Liga Bangladesh.
“Saya yakini barisan pemain dibawa coach Ela ke Thailand dalam usaha untuk mencipta sesuatu. Cuma pesan saya pemain jangan over confident kerana ranking Fifa bukan jaminan bagi memenangi satu pertandingan walaupun ranking Bangladesh sangat jauh di bawah kita,” kata jurulatih kelahiran Ampang, Selangor itu.
ARTIKEL BERKAITAN : “Tiga mata lawan Bangladesh penting untuk semangat pasukan” – Harith Haiqal
Malahan, ketika dihubungi FLASH SUKAN Raja Isa sempat membongkarkan tips berguna buat Elavarasan dan pasukan teknikal membuat kajian sebelum sepak mula berlangsung.
“Tetapi, kena ingat bahawa kekuatan lawan bergantung kepada gerakan set piece yang berbahaya. Satu lagi, harus berjaga-jaga dengan sepakan penjuru mereka termasuk lontaran ke dalam dan sepakan percuma di luar kotak 16.
“Ada kemungkinan juga Bangladesh akan menerapkan gaya permainan high pressing di babak pertama untuk mendapatkan jaringan awal.
“Mirajul Islam adalah pemain tempatan terbaik setakat ini. Kemahiran penyudahnya lebih baik daripada mana-mana pemain dalam pasukan kebangsaan. Begitu juga Yeasin Arafat (kapten) yang menjadi pakar motivasi kepada rakan sepasukan.
“Malaysia juga harus rantai Shahin Rafiq dan Jamir Uddin di posisi sayap yang cepat dan pantas serta Hridoy yang bertindak pemain tengah bertahan dan dia ni boleh membantu pertahanan dan membuat press highly,” katanya cukup mengenali pemain disebutkan kerana pernah mengendalikan kelab Muktijoddha Sangsad KC di Liga Bangladesh.
Skuad B-23 diundi dalam Kumpulan H bersama-sama Bangladesh, Filipina dan tuan rumah Thailand dengan juara kumpulan akan layak ke Piala Asia AFC B-23 2024 di Qatar.