KERUSI ketua jurulatih skuad bola sepak Malaysia B-23 masih lagi kosong dan beberapa calon disebut-sebut bakal mengisi posisi yang ditinggalkan Brad Maloney.

Kini mungkin sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuka ruang kepada anak watan yang berpotensi menjawat pasukan muda negara.

Antara yang mungkin boleh dicalonkan adalah Ketua Jurulatih Muktijoddha Sangsad KS, Raja Isa Raja Akram Shah.

Beberapa calon kini sedang intai peluang untuk mengisi jawatan Ketua Jurulatih skuad B-23 bagi menggantikan tempat Brad yang telah ditamatkan kontrak minggu lalu.

Raja Isa yang miliki lesen kejurulatihan AFC lebih dikenali di Liga Indonesia sebagai jurulatih Persipura Jayapura, PSM Makassar, Persiram Raja Ampat, PSMS Medan, Persijap Jepara dan pernah melatih UiTM FC musim 2015-2016.

“Saya melihat skuad Bawah 23 tahun negara ada kekoso­ngan, ia juga merupakan cabaran yang baik untuk karier saya,” kata Raja Isa kepada FLASH SUKAN yang sedia menggalas cabaran pasukan muda negara yang dilihat berpotensi pada masa depan.

Berikut adalah pencapaian terbaik anak kelahiran Ampang ini.

2007 Dicalonkan sebagai Jurulatih Terbaik di Liga Super Indonesia

2008 Dicalonkan sebagai Jurulatih Terbaik di Liga Super Indonesia

2008 Dicalonkan sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan bagi Indonesia B-23 tahun

2010 Dicalonkan sebagai National Care Taker untuk Liberia B-23 tahun dan Pasukan Kebangsaan Timor Leste

Bagaimanapun, menurut Wartawan Sukan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di Twitternya memaklumkan jurulatih baru skuad B-23 negara dijangka diumumkan hari ini selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM.

Selain E Elavarasan atau Pau Marti, FAM difahamkan ada opsyen untuk melantik jurulatih lain pilihan Kim Pan Gon.