PROJEK pembangunan akademi Twin Stars Guinea yang diterajui Presidennya, Alieu Kamara akan membawa salah seorang jurulatih terhebat Asia ke Conakry.

Individu dimaksudkan adalah Raja Isa Raja Akram Shah yang diiringi bersama penjaga gol Khairul Nizam Mohd Taib akan tinggal di Conakry, di ibu negara Guinea kira-kira lebih dua minggu.

Semasa berada di sana, kedua-dua rakyat Malaysia itu akan menyediakan kepakaran mereka kepada Twin Stars Academy of Guinea.

Raja Isa, 57, juga akan memanfaatkan peluang untuk mencungkil bakat terbaik dari akademi bagi membolehkan mereka memiliki kontrak profesional.

Dia yang pernah melatih beberapa pasukan, terutamanya di Indonesia, Malaysia dan Bangladesh, sentiasa menunjukkan kecintaannya kepada bola sepak Afrika, khususnya Guinea.

Malah, hasrat terbesar adalah untuk membawa pengalamannya ke bola sepak Guinea.

Lebih-lebih lagi, sepanjang berada di sini, Raja Isa akan bertemu beberapa personaliti Guinea untuk membincangkan perkembangan bola sepak negara itu.

“Saya akan ke Conakry esok pagi dan transit di Istanbul. Moga-moga kehadiran saya di sana dapat memperkenalkan imej Malaysia dan mengintai ruang di bumi Afrika,” katanya ketika dihubungi.

Raja Isa calon layak isi kekosongan jurulatih Malaysia B-23

Terdahulu FLASH SUKAN pada 9 November melaporkan Raja Isa ingin menumpukan dahulu undangan daripada Persekutuan Bola Sepak Guinea melalui projek Twin Academy Guinea FA membentangkan kertas kerja persiapan pasukan kebangsaan bagi menghadapi Pusingan Akhir Piala Afrika bermula 11 Januari hingga 11 Februari 2024 dan Pra Piala Dunia B-19 2025.

Raja Isa turut diminta membentang metodologi PS Ball Mastery, modul-modul yang dimulakan oleh Syed Adnan Syed Othman setelah berjaya diperkenalkan di Vietnam dan Bangladesh.

Selama 21 hari Raja Isa akan mengendalikan sesi kejurulatihan bersama Pasukan Projek Guinea. Kedatangan Raja Isa mendapat perhatian semua televisyen dan media Guinea serta Afrika.