KEHADIRAN dua anak Malaysia di bumi Guinea jelas diterima begitu baik oleh para pemain projek akademi negara yang terletak di benua Afrika itu.
Jurulatih antarabangsa Asia, Raja Isa Raja Akram Shah dan bersama penjaga gol Khairul Nizam Mohd Taib kini berkelana di Conakry, ibu negara Guinea bagi memanfaatkan peluang untuk mencungkil bakat terbaik dari Twin Stars Academy of Guinea untuk membolehkan mereka memiliki kontrak profesional.
Malah, perkembangan mereka turut mendapat liputan daripada media negara berkenaan, dan pasukan bola sepak kebangsaan itu berada di tangga ke-80 dunia.
“Satu hari lagi yang indah di Guinea, Conakry. Rakyat Malaysia berada di bandar. Jurulatih hebat Raja Isa dan penjaga gol antarabangsa Malaysia, Khairul Nizam untuk latihan pertama di Conakry,” menurut laporan itu.
Malah, jurulatih yang memperkenalkan PS Ball Mastery, Syed Adnan Syed Othman juga mengucapkan tahniah buat kedua-dua rakyat Malaysia yang mengembangkan ilmu sehingga ke luar negara.
“Teruskan kerja yang bagus! ,” katanya.
Sepanjang keberadaan di sana, mereka akan menyediakan kepakaran kepada Twin Stars Academy of Guinea.