JURULATIH bola sepak berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah menyuarakan pujian terhadap Khairul Nizam Mohd Taib yang berani menyahut cabaran melatih Borneo FC Samarinda, sebuah kelab yang beraksi BRI Liga 1 Indonesia bagi musim yang akan datang.

Raja Isa menyifatkan langkah ini sebagai satu pencapaian besar dan menunjukkan keyakinan terhadap kemampuan Khairul Nizam sebagai jurulatih yang berpengalaman.

Dia juga menggalakkan lebih ramai lagi jurulatih Malaysia untuk berkelana ke luar negara bagi mendapatkan pengembaraan dan pendedahan baharu.

“Pengalaman melatih di luar negara adalah satu peluang untuk berkembang secara profesional. Khairul Nizam akan berada di Borneo, dan saya yakin dia mempunyai kemampuan untuk menjalankan tugasnya dengan cemerlang,” kata Raja Isa kepada FLASH SUKAN.

Menurutnya, Khairul Nizam telah menunjukkan kebolehan dan keupayaan sebagai jurulatih yang berkaliber semasa melatih Kelantan TRW pada musim 2022.

“Apabila Borneo menawarkannya peluang ini, saya memberi galakan penuh untuk dia mengambilnya. Dia kini gembira dengan keputusan tersebut dan menikmati suasana di sana,” tambahnya.

Malah, dia percaya bahawa keberanian Khairul Nizam patut dijadikan contoh kepada jurulatih-jurulatih lain di Malaysia.

“Kita perlu berani untuk mencuba sesuatu yang baru dan keluar dari zon selesa. Melatih di luar negara memberikan perspektif yang berbeza dan memperkaya pengalaman profesional kita,” ujarnya.

Selain memuji langkah Khairul Nizam, Raja Isa turut mengulas sebab dirinya menolak beberapa tawaran untuk melatih kelab di Bangladesh dan Thailand.

“Saya terpaksa menolak tawaran tersebut kerana faktor kesihatan bapa saya yang memerlukan perhatian lebih. Selain itu, terdapat isu kes legal yang membabitkan anak saya yang memerlukan penyelesaian segera,” jelas Raja Isa.

Khairul Nizam (dua, kiri) bersama Raja Isa (kanan) semasa berkelana ke bumi Guinea untuk mencungkil bakat terbaik dari Tween Stars Academy of Guinea.

Pada masa sama, dia menegaskan bahawa keputusan ini dibuat demi kepentingan keluarga, namun tetap memberikan sokongan penuh kepada Khairul Nizam dan mengharapkan lebih ramai jurulatih Malaysia mengambil peluang untuk mengembangkan kerjaya di peringkat antarabangsa.

Dengan langkah Khairul Nizam ini, Raja Isa berharap ia akan membuka jalan untuk lebih ramai jurulatih negara ini menunjukkan bakat dan keupayaan mereka di pentas antarabangsa.

“Ia adalah peluang yang baik untuk kita membuktikan bahawa jurulatih kelahiran Malaysia juga mampu bersaing dan berjaya di luar negara,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Borneo FC Samarinda sambar kepakaran jurulatih penjaga gawang asal Malaysia

Kongsi Raja Isa lagi, ketika dia menerima jemputan ke bengkel belia program remaja dunia dari Twin Stars Academy of Guinea pada tahun lepas, Khairul Nizam datang bersama isterinya untuk mendapat peluang dan mengambil bahagian.

“Semasa di Guinea, Khairul berjaya menunjukkan sikapnya yang ingin maju. Kemahiran sebagai jurulatih penjaga gol dan media di Guinea dan Afrika amat gembira dengan sumbangannya dalam memindahkan ilmu bola sepak kepada para peserta.

“Selain itu, saya melihat satu lagi watak yang kuat dalam diri Jamsari Sabian (bekas penjaga gol Selangor), yang mampu berhijrah ke luar negara mengembangkan karier dalam arena kejurulatihan.

“Saya kini sedang menyelesaikan ada isu masalah undang-undang yang sedang dihadapi dan dijangka dapat selesai pada Ogos 2024.

“Insya-Allah, selepas itu saya akan buat keputusan dan bakal kembali ke luar negara sekali lagi,” jelasnya.