SEKIRANYA Safawi Rasid membuat keputusan menyertai Persib Bandung, ia dinilai memberikan jangkamasa positif buat kedua-dua belah pihak.
Cerita penghijrahan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berlegar-legar di laman sosial peminat Indonesia yang rata-rata menyambut baik perkembangan terkini itu.
Seperti diketahui, pengelola Liga Indonesia Baru merancang akan menggunakan peraturan 5+1 pemain import dalam setiap pertandingan nanti.
Peraturan itu bermaksud setiap kelab dibenarkan memiliki enam pemain asing, dan salah seorang adalah dari kuota Asean.
Jurulatih antarabangsa Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah berkata, Bandung adalah kota yang sesuai untuk Safawi mengembangkan karier dan diberi status legenda sebaik sahaja tamat kontrak.
“Kalau Safawi ke Persib ia merupakan keputusan yang positif sebab Persib pasti mendapat keuntungan selain dari bakat aspek pemasaran dan penjenamaan serta merchandising.
“Kelab itu bakal mendapat keuntungan besar dan jangkaan tinggi setiap permainan akan menjadikan Safawi lebih fokus memberikan tahap yang terbaik,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Ahad.
Pengendali kelab Liga Bangladesh di Muktijoddha Sangsad KC itu percaya saingan Liga Indonesia pasti rancak semula khususnya dengan kehadiran Safawi.
“Persib salah satu pengurusan terbaik di Liga Indonesia dan faktor Persib adalah aset wilayah Jawa Barat. Bola sepak juga merupakan sukan nombor satu di kota Bandung.
“Hampir semua pemain-pemain lokal atau asing di Liga Indonesia bercita-cita ingin menjadi sebahagian daripada Persib.
“Saya melihat faktor makanan halal dan suasana berbeza budaya serta bahasa mungkin salah satu sebabnya. Mungkin kelab Thailand sama seperti Persib high expectation,” katanya lagi.
Raja Isa yang pernah membimbing beberapa kelab ternama di Liga Indonesia yakin pemain berusia 26 tahun itu miliki daya penarik seperti Safee Sali yang berpindah ke Arema.
“Saya berharap Safawi selepas bermain dari kota Bandung dapat berpindah ke Liga Eropah, Jepun atau Korea.
“Kembali ke JDT juga adalah yang terbaik kerana Liga Juara-Juara Asia pentas buat Safawi untuk menjual diri selain Persib Bandung.
“Perkara positif sepanjang Safawi berada di Thailand, postur badannya lebih baik berbanding sebelumnya. Boleh nampak Safawi kelihatan berfikiran positif untuk memajukan diri,” katanya.
Dari segi kualiti, Safawi Rashid memang terkenal di kalangan masyarakat bola sepak Indonesia.
Ini kerana ‘tindakannya’ itu sentiasa merunsingkan pertahanan Skuad Garuda, apabila perlawanan itu mempertemukan Indonesia dan Malaysia terutama pada pusingan genting.
Pemain kelahiran Terengganu itu telah membuat 46 penampilan untuk pasukan kebangsaan Malaysia dengan mengumpul 18 gol.
Kerjayanya yang berkelas itu juga terbukti apabila tampil memperkuatkan kelab Ratchaburi FC pada musim lalu, dan berjaya mengharungi 13 perlawanan dalam 634 minit permainan dan menjaringkan satu gol.
Walaupun peranan utamanya sebagai pemain tengah sayap kanan, Safawi juga mampu beraksi di pelbagai posisi termasuk pemain tengah sayap kiri, pemain tengah menyerang dan penyerang utama.
Dilaporkan dari halaman Transfermarkt.co. secara keseluruhan, Safawi mengumpul 32 gol dan 16 assist daripada 114 penampilan untuk JDT