MESKIPUN masih menjadi khabar angin, sebagai rakyat Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah menyokong penuh Datuk Ong Kim Swee mengendalikan Persis Solo dalam aksi BRI Liga 1 2024
Menurut jurulatih antarabangsa Malaysia itu, kehadiran Kim Swee, yang juga dikenali sebagai Datuk Ong ke Persis Solo adalah peluang terbaik untuk jurulatih berpengalaman itu membuktikan kebolehannya di peringkat antarabangsa, khususnya di Indonesia.
“Saya sangat gembira dan menyokong penuh jika benar Kim Swee melatih Persis Solo. Liga 1 Indonesia akan menjadi platform baru untuk beliau menunjukkan pengalaman dan kehebatannya sebagai salah seorang jurulatih terbaik di Malaysia, selain pernah menjadi bekas jurulatih skuad kebangsaan Malaysia,” kata Raja Isa kepada FLASH SUKAN.
Menurutnya, kedudukan semasa Persis Solo dalam liga sangat memerlukan sentuhan jurulatih yang memiliki karakter seorang pejuang, dan Kim Swee memiliki sifat tersebut untuk membantu pasukan bangkit.
“Persis Solo memerlukan seorang jurulatih dengan sikap ‘fighter’ seperti Ong Kim Swee. Beliau mampu membawa pasukan ini keluar daripada kedudukan yang terpuruk, lebih-lebih lagi dengan baki sekitar 20 hingga 22 perlawanan dalam musim ini. Waktu yang ada cukup untuk beliau membina dan memperbaiki kedudukan pasukan,” tambah Raja Isa.
Namun, beliau juga menekankan bahawa kejayaan ini memerlukan kerjasama dan kesediaan pengurusan Persis Solo untuk memberikan sokongan penuh, termasuk melabur dalam pasukan kejurulatihan Ong Kim Swee yang biasanya hadir dengan pembantu-pembantu berpengalaman.
“Asalkan pengurusan Persis Solo bersedia membuat pelaburan, saya yakin ini akan menjadi keputusan yang berbaloi. Kim Swee memiliki kemampuan untuk membangunkan pasukan walaupun dalam keadaan yang mencabar.
“Khabar angin mengenai kehadiran beliau ke Persis Solo ini, jika benar terjadi, adalah sesuatu yang sangat positif,” ujar Raja Isa yang telah berpengalaman melatih selama 17 musim di Liga Indonesia.
Beliau juga menegaskan bahawa kehadiran Ong Kim Swee akan membawa dimensi baru kepada bola sepak Indonesia dan berharap pengurusan Persis Solo mengambil peluang ini untuk melabur dalam kemajuan pasukan.
“Saya yakin ini adalah langkah yang baik. Mudah-mudahan pengurusan Persis Solo tidak rugi jika mereka membawa Kim Swee ke sini. Saya amat menyokong penuh usaha ini dan percaya beliau mampu membawa perubahan kepada Persis Solo,” katanya.
Dengan pengalaman luas yang dimiliki Kim Swee, langkah ini dilihat sebagai peluang untuk memperkukuhkan prestasi Persis Solo dalam saingan Liga 1 Indonesia.