RAJA Muda Johor, Tunku Iskandar Tunku Ismail kelihatan ceria menyambut hari keputeraan yang ketujuh baru-baru ini, berikutan hantaran yang dimuat naik oleh YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Bustamam.
Dengan mengenakan jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang serba kemas, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meraikan hari keputeraan anakandanya dengan satu aksi bola sepak bersama pemain-pemain utama Harimau Selatan itu.
Lebih jelas lagi, gambar-gambar yang dimuat naik oleh Che’ Puan Mahkota Khaleeda di platform Instagram memaparkan Tunku Iskandar sedang beraksi dalam satu kejohanan dinamakan Leo’s Champions League.
Antara yang turut bersama dengan Tunku Iskandar pada kejohanan itu adalah Park Jun-Heong, Bergson da Silva, Eddy Israfilov, Oscar Arribas, Jese Rodriguez dan Andoni Zubiaurre.
Meskipun skuad gergasi Merah Biru itu sedang fokus menjalani latihan menjelang perlawanan Liga Super antara JDT dan Selangor FC pada Ahad, namun ia tidak menjadi halangan dalam mengeratkan lagi hubungan antara pemain dan anakanda kepada Tunku Ismail berkenaan.