KAYUHAN Penutup 25 Tahun Universiti Teknologi Mara (UiTM) diserikan dengan kehadiran Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang berkenan berkayuh bersama-sama peserta dari Kampus Puncak Alam hingga ke UiTM Shah Alam sebagai acara penutupan bagi Program Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan.
Seramai 12 orang warga UiTM yang mengambil bahagian dalam kayuhan dengan jarak keseluruhan 2,000 kilometer mengelilingi Semenanjung Malaysia terdiri daripada staf akademik dan pentadbiran serta empat orang ialah pelajar.
Dalam acara penutup yang penuh meriah pada Selasa, pelbagai aktiviti diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) sempena menyambut ketibaan semua pengayuh, termasuk persembahan, pameran, dan sesi interaksi bersama warga UiTM.
Simbolik kayuhan ini adalah membawa kapsul yang mengandungi hasrat serta harapan setiap kampus UiTM. Kapsul ini akan disimpan di monumen yang bakal dibina dan dilancarkan sempena sambutan Malam Gala 25 Tahun UiTM pada 24 Ogos 2024.
Menariknya lagi, program ini turut membawa tema Menuju Kelestarian Alam Sekitar sejajar dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDG) 3, 11, 13, dan 17 dengan kerjasama Pulau Banding Foundation (PBF).
Inisiatif berkenaan selaras dengan komitmen UiTM untuk mempromosikan kelestarian alam sekitar dan memperkasa komuniti.
UiTM berharap Program Kayuhan 25 Tahun ini akan menjadi inspirasi kepada seluruh warga UiTM, khususnya dan warga Malaysia amnya dalam usaha kita untuk mencapai kesejahteraan dan kelestarian bersama.
Semoga usaha murni ini terus memberikan impak positif kepada generasi akan datang.