BEKAS pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K Rajagobal turut terkejut mutu pengadilan dari Jepun, Ryuji Sato yang memberikan sepakan penalti dan melayangkan kad merah terhadap Azam Azmi Murad semasa aksi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 sebentar tadi.
Perlawanan di Stadium My Dinh itu kelihatan berat sebelah dengan Sato seolah-olah memihak kepada pasukan tuan rumah termasuk viral satu hantarannya di Facebook kononnya dia menzahirkan sokongan kepada kemenangan Vietnam.
“Nampak sangat tidak adil bagi kita Malaysia sekali imbas menonton ulang tayang berulang kali.
“Adakah pegawai perlawanan melihat sesuatu yang kami tidak nampak berlaku di atas padang ?
“Mengingatkan saya pada perlawanan separuh akhir semasa Piala AFF 2012 menentang Thailand di tempat lawan apabila Fadli Shas mendapat kad merah,” ciapnya di Twitter.
Seems so unfair for us Malaysia at a glance watching the replay over and over again. Did the match officials see something we didnt see happen on the pitch?? Reminds me of the Semifinal match during the 2012 AFF against Thailand away when Fadli Saas got a red card.
— K.Rajagobal (RG) (@RajagobalRg) December 27, 2022
Ciapan Rajagobal mendapat maklum balas segera daripada peminat yang kecewa dan berang tindak tanduk Sato.
“Masa untuk Malaysia boikot kejohanan,” tulis pengguna Twitter.
Manakala seorang lagi menulis : “Kami mungkin bersetuju dengan kad merah tuan jika pemain telah melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan di luar padang. Tetapi kami memerlukan penjelasan mengenai penalti. Sungguh tidak adil untuk pasukan kami.”
Sato diserang di media sosial kerana memberikan sepakan penalti tidak sepatutnya berikutan tiada sentuhan daripada pemain negara sehingga menyebabkan pemain Vietnam terjatuh dalam kotak penalti.
Sebelum ini, Sato adalah pengadil sama yang mengadili perlawanan Malaysia menentang Vietnam dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, tahun lepas.
“FIFA, tolong siasat pengadil ini,” tulis seorang netizen.
Malam tadi, Malaysia tewas 3-0 dan kini perlu memberi perhatian perlawanan seterusnya menentang Singapura aksi penentu Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Januari depan.