BEKAS pengendali skuad kebangsaan, Datuk K.Rajagobal mengakui teruja melihat poster yang disiarkan oleh laman rasmi Piala Asia AFC yang memperlihatkan gambar bintang Korea Selatan, Son Heung-min diletakkan bersebelahan dengan pemain sayap negara, Faisal Halim.

Poster yang disiarkan itu adalah sebagai promosi awal perlawanan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar dengan Korea Selatan dan Malaysia diundi bersama dalam Kumpulan E.

Rajagobal berkata demikian apabila dia melakukan hantaran di ruangan komen yang jelas menunjukkan rasa bangga dan semangat serta tidak sabar untuk menyaksikan Malaysia kembali di pentas Piala Asia sejak 42 tahun lalu.

“Poster ini membuatkan saya terkenang dan berfikir. Sebagai bekas pemain, saya sentiasa mahu bermain di pentas ini. Sebagai jurulatih, ini adalah impian dan sudah tentu aspirasi. Kami telah mencuba segala cabaran dan keadaan juga berbeza. Sebagai penyokong, saya kini menghitung hari sehingga perlawanan pertama,” tulisnya.

Rajagobal yang mempunyai 20 kaps bersama pasukan kebangsaan tidak pernah bermain di Piala Asia kerana Malaysia gagal layak ke pusingan akhir dan sebagai jurulatih juga dia tidak berjaya membawa Harimau Malaya ke pentas tertinggi bola sepak Asia itu.

Malaysia kini berada pada tahap terbaik untuk memberikan aksi cemerlang di Qatar dengan gabungan pemain tempatan, warisan dan naturalisasi yang mampu memberikan impak dan berpeluang layak ke peringkat 16 terbaik buat kali pertama dalam sejarah.

Bekas penyerang Selangor itu boleh dikatakan sebagai pencetus kebangkitan bola sepak tempatan apabila membimbing skuad Harimau Malaya muncul juara Piala AFF Suzuki 2010, kejayaan julung kalinya buat Malaysia di peringkat Asean.

Skuad kendalian Kim Pan-gon akan bertemu Jordan pada perlawanan pertama sebelum bertemu Bahrain dan akan melengkapkan aksi kumpulan bertemu Korea Selatan.