BEKAS jurulatih skuad bola sepak negara, Datuk K Rajagobal turut tidak ketinggalan mahu menyaksikan kelibat Harimau Malaya mempamerkan taring beraksi di Piala Asia 2023.
Selepas lama menyepi, nama Malaysia mula segar di pentas antarabangsa meskipun dilabel pasukan kerdil dalam Kumpulan E yang dibarisi pemenang dua kali, Korea Selatan dan dua negara Arab, Jordan serta Bahrain.
Bagi Rajagobal, keterujaan bukan hanya dirinya tetap seluruh peminat sejati bola sepak negara di seantero dunia.
“Sangat teruja untuk (menonton) Piala Asia di Qatar dan tidak sabar untuk melihat beraksi.
“Impian besar menjadi kenyataan untuk semua peminat bola sepak Malaysia,” katanya di platform X.
Penampilan Malaysia dalam edisi Piala Asia kali ini memang mengujakan peminat yang telah lama menunggu pasukan kebangsaan bertanding semula dalam kejohanan berprestij itu.
Bagaimanapun, anak buah Kim Pan-gon, akan berdepan tugas sukar dalam Kumpulan E kerana ketiga-tiga lawan memiliki ranking lebih baik berbanding pasukan kebangsaan.
Kali terakhir Malaysia beraksi pada Piala Asia ialah ketika menjadi tuan rumah bersama edisi 2007 selepas dua penampilan iaitu pada 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait.