KEMENTERIAN Belia Dan Sukan (KBS) menerusi Menterinya, Hannah Yeoh berkata permintaan yang tinggi dari golongan belia terhadap sukan permotoran mendorong KBS untuk memperkenalkan Rakan Litar sebagai salah satu inisiatif baharu dalam Rakan Muda yang diberikan nafas baharu.
Rakan Muda kini diperkasakan semula oleh KBS dengan objektif untuk menjadi platform pengisian masa berkualiti dan penyatuan perpaduan dikalangan belia selain menjadi platform utama untuk perlaksanaan Model Baharu Pembangunan Belia Madani 2023.
Inisiatif Rakan Muda yang diberikan nafas baharu memperkenalkan 10 gaya hidup iaitu Rakan Aktif, Rakan Demokrasi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi dan Rakan Litar selain Rakan Mahir, Rakan Muzik, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin yang selaras dengan cita rasa dan minat generasi muda hari ini.
Ini Harinya 🔥⚡️
Rakan Muda akan dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia pada 25 Jun ini 🏁
Jom tonton sedikit perkongsian oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh mengenai Rakan Muda 📹#TeamKBS pic.twitter.com/LULT84NMFe
— KBSMalaysia (@KBSMalaysia) June 25, 2023
“Permotoran adalah salah satu aktiviti yang popular dengan belia oleh itu kita adakan Rakan Litar dan kita beri jaminan bahawa setiap belia yang berminat dapat jumpa satu gaya hidup yang sesuai dengan mereka.
“Sekarang dengan adanya empat rakan strategik yang digunakan dengan meluas oleh rakyat Malaysia, kita akan gunakan ganjaran cara baharu untuk belia datang menyertai program Rakan Muda,” katanya ketika ditemui media pada Ahad.
Hannah juga berkata, pelaksanaan Rakan Muda nafas baharu itu menekankan tiga fokus utama iaitu memperkukuh jenama Rakan Muda menerusi 10 Gaya Hidup yang diberikan nafas baharu dan menyerlahkan potensi generasi belia menerusi penterjemahan minat dan kecenderungan positif.
“Fokus lain adalah memberdayakan pendekatan sinergi dengan pelbagai rakan strategik dan kumpulan pelaksana yang meliputi sektor awam, swasta dan ‘civil society‘ untuk melaksanakan program-program berkaitan belia di pelbagai program Rakan Muda.
“Saya percaya kerjasama strategik ini dapat mewujudkan program yang berteraskan ‘Fun, Vibrant dan Meaningful’ seterusnya membuka lebih banyak peluang dan ruang kepada penyertaan generasi belia dalam mana-mana program yang dianjurkan,” katanya dalam ucaptamanya.
Majlis Pelancaran Rakan Muda Nafas Baharu itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada Ahad.