“BERAT sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

Perumpamaan yang paling tepat buat rakan-rakan Siti Nurul Masyitah Md Elias, yang berusaha untuk mengumpul dana bagi membantu meringankan beban atlet kayak yang baharu sahaja terlibat dalam kemalangan di Johor Baharu.

Menurut salah seorang rakannya, Nur Syahirah Fuad yang merupakan ahli dalam Persatuan Kanu Negeri Johor, dia telah menjalankan satu gerak kerja bersama rakannya dengan mengumpul sumbangan atau dana daripada pihak luar yang ingin membantu memudahkan urusan keluarga Masyitah.

Syahirah bersama 16 ahli kanu Johor yang lain pastinya terkesan akan insiden yang menimpa sahabatnya, dan kini mereka saling bekerjasama dengan mengatur langkah terbaik demi membantu meringankan beban yang menimpa keluarga rakannya.

Helmet yang dipakai oleh Nurul Masyitah ketika kemalangan berlaku.

“Saya sangat terkejut apabila mendapat tahu kejadian yang menimpa Masyitah. Saya dan beberapa rakan lain bergegas ke hospital untuk menanti keadaan Masyitah.

“Dalam masa yang sama, kami saling mencari idea untuk membantu dia dan keluarga, jadi kami sepakat untuk mengumpul, mencari dana, paling tidak ia dapat mengurangkan sedikit beban yang dihadapi.

“Masyitah ini merupakan seorang yang murah dengan senyuman, apa-apa yang berlaku memang dia akan senyum sahaja. Walaupun dia sakit, kami tak pelik dia boleh senyum semasa kami melawat dia. Cuma agak sedih melihat keadaan dia seperti itu,” ujar Syahirah kepada FLASH SUKAN.