SEBAGAI sebahagian daripada Generasi X, penulis menikmati siaran bola sepak antarabangsa menerusi kaca televisyen sejak 1980-an secara percuma, sebelum ledakan era maklumat yang membawa kepada stesen televisyen berbayar bermula pertengahan 1990-an.

Jika dahulu, Piala Dunia FIFA 1982 di Sepanyol dibawakan khas oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) hasil tajaan rakyat Malaysia yang mengumpul duit menerusi tabung yang diwujudkan oleh akhbar The Malay Mail, Kejohanan Negara-negara Eropah atau ringkas Kejohanan Euro turut disiarkan oleh stesen televisyen swasta TV3 pada 1984, tahun yang didominasi Michel Platini dan barisan musketeersnya.

Bagi yang melanggan Astro, mereka berpeluang menonton aksi bola sepak antarabangsa yang tiada tolok bandingnya menerusi pelbagai rangkaian di platform decoder Astro atau pengstriman langsung.

UEFA EURO 2024 logo unveiled with spectacular light show at the Olympiastadion in Berlin | UEFA EURO 2024 | UEFA.com

Edisi 2024 Jerman dijangka menarik puluhan juta penonton, tidak terkecuali peminat di Malaysia.

Di saat peminat bola sepak tertunggu-tunggu apakah perancangan stesen televisyen Malaysia berhubung Euro 2024 di Jerman, penulis ingin mendesak agar RTM membeli hak siaran kejohanan berprestij itu.

Dengan baki 50 hari sahaja sebelum Euro 2024 bermula dari 14 Jun hingga 14 Julai nanti, penulis dimaklumkan bahawa RTM belum memuktamadkan keputusan untuk membeli hak siaran terrestrial atau stesen televisyen percuma.

Dengan kemungkinan besar pelanggan Astro terpaksa melanggan Sports Pack untuk mengakses maklumat dan menonton Euro 2024 pada kadar RM99, apakah nasib golongan B40 yang menagih peluang menonton saingan bola sepak antarabangsa terbaik?

⁠Penulis ingin mengajak Pak-pak Menteri untuk berfikir sejenak.

Aksi terulung EPL hanya disiarkan di saluran televisyen berbayar.

Sudah lama peminat bola sepak yang tidak melanggan Astro menanggung rindu menonton aksi Liga Perdana Inggeris, La Liga, Bundesliga dan Ligue Un Perancis secara percuma.

Ini belum disebut lagi UEFA Champions League, saingan yang mengumpul kelab terbesar Eropah memburu Piala Eropah.

Dengan kos sara hidup yang kian meningkat dengan bil elektrik melambung tinggi serta subsidi minyak disusun semula, golongan B40 akan berdepan cabaran lebih besar.

Bola sepaklah satu-satunya sukan yang boleh membawa kita ke alam lain. Escapism. Melupakan masalah duniawi buat seketika untuk menghulurkan sokongan kepada pasukan Impian anda dari negara lain seperti England, Sepanyol, Jerman, Belanda, Perancis dan Itali.

Image

RTM boleh menjadi nadi penyatuan rakyat dengan menyiarkan siaran langsung Euro 2024.

⁠Kerajaan Madani tentu sedar bahawa bola sepak merentas sempadan tanpa mengira warna kulit, keluarga, jantina mahu pegangan agama.

Andai bola sepak tempatan diminati satu kaum, Euro ditunggu-tunggu rakyat Malaysia.

⁠RTM boleh dimaafkan seandainya tidak menyiarkan secara langsung perlumbaan Formula 1, gusti WWF dan Liga Bola Keranjang NBA tetapi seandainya tiada Euro 2024 di kaca TV anda, permintaan rakyat tidak penting di mata Kerajaan Persekutuan.

FLASH SUKAN serahkan “the wisdom” Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan juga, kata dua dari Perdana Menteri Datuk Seri’ Anwar Ibrahim.

Rakyat Malaysia menanti berita gembira, khususnya peminat bola sepak.