PELUMBA Mercedes, Lewis Hamilton akan menandakan satu lagi peristiwa penting dalam kariernya di Grand Prix Australia hujung minggu ini apabila genap sedekad lalu dia melakukan debut dengan pasukan Mercedes di Litar Albert Park, Melbourne.
Enam tahun dalam kariernya dalam Formula 1 dengan satu kejuaraan dunia miliknya, Hamilton bertukar pasukan ke Mercedes dari McLaren menjelang musim 2013 meskipun pasukan Silver Arrows itu menamatkan musim sedikit kebelakang dalam kedudukan pengeluar musim 2012.
Tetapi Mercedes mendominasi era enjin turbo-hybrid yang bermula pada 2014 dengan Hamilton berjaya menambah enam lagi kejuaraan dunia, 82 kemenangan dan 77 petak pertama sehingga 2021.
Kesemua kejayaan itu tidak dijanjikan kepadanya ketika dia membuat keputusan berpindah pasukan dan Hamilton melihat kembali detik-detik sepanjang 10 tahun bersama pasukan Mercedes.
“Adakah saya merasakan ianya risiko? Sudah tentu. Apabila anda membuat keputusan dan melalui perubahan ianya pasti melibatkan risiko. Namun bagi saya ianya bukan kehidupan jika tidak berani mengambil risiko dan tidak sentiasa mencabar diri sendiri dan orang disekeliling saya. Ianya arah yang tidak dapat dielakkan dan saya rasakan ianya tepat.
“Ianya satu perasaan yang saya perolehi, mahukan sesuatu yang baharu. Saya teruja untuk bekerja dengan orang baharu dan menyertai pasukan yang sedang bergelut dan membawa apa yang telah saya pelajari dan lihat jika saya boleh gunakannya di tempat lain.
“Saya teruja dengan perancangan yang saya dengar telah dilaksanakan untuk membentuk satu pasukan yang akhirnya menjadi juara dunia. Saya hanya mengikut gerak hati dan ianya membawa saya ke pasukan yang hebat ini dan pengalaman yang menakjubkan bermula,” katanya yang melakukan debut dengan Mercedes di tangga kelima di Australia.
Berkaitan cabaran yang sedang dihadapi Mercedes pada musim 2022 dan 2023, Hamilton melaungkan keyakinan penuh yang perkara baik akan tiba dan Mercedes akan kembali mencabar pasukan Red Bull Racing yang kini sedang mendominasi.
“Kami tahu kami tidak sempurna dan sentiasa mampu lakukan dengan lebih baik. Itu adalah perkara yang sentiasa kami cuba lakukan. Kami tidak mempunyai jentera yang hebat sekarang tetapi kami sedang menyusun langkah demi langkah dan yakin kami akan kembali di hadapan.
“Ianya akan menjadi tugas yang paling sukar untuk kami hadapi untuk kembali ke tahap yang kami mahukan dan mengejar Red Bull. Jika ianya berjaya, pastinya satu kejayaan besar buat kami semua,” tambah pemandu berusia 38 tahun yang mengejar rekod kejuaraan pemandu sebanyak lapan kali.
Hamilton dan Mercedes kini sedang bersedia untuk menghadapi Grand Prix Australia dengan dia kini ditangga kelima senarai pemandu dengan 20 mata manakala Mercedes ditangga ketiga kedudukan pengeluar dengan 38 mata ketinggalan di belakang Red Bull Racing dan Aston Martin.