BERITA mengenai bekas juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov dari Russia yang akan hador bagi acara ‘LIVE in Malaysia 2024’ mendapat sambutan apabila 50 peratus daripada 3,000 tiket habis terjual, setakat ini.
Acara yang dijangka berlangsung pada 29 September ini, turut menyaksikan beberapa kategori tiket habis terjual.
Ketua Pegawai Operasi Faith Event, Munira Mustafa berkata, selepas hampir seminggu jualan tiket itu dibuka, sambutan orang ramai amat menggalakkan.
Jelasnya, Khabib di bawa ke Malaysia untuk berkongsi dengan masyarakat di negara ini, selain memberi inspirasi kepada orang ramai mengenai apa yang diperlukan untuk menjadi juara.
Selain itu, dengan reputasi yang ada pada bekas bintang atlet seni bela diri campuran (MMA) itu, pihaknya yakin menerusi promosi berterusan yang akan dijalankan akan menarik lebih ramai orang untuk hadir ke acara itu.
“Alhamdulillah setakat ini sekitar 50 peratus sudah terjual bagi kategori Dagestan, Royal Box dan The Champion dan kita akan melihat dan jual tiket yang berbaki di beberapa bahagian seperti Undisputed, Send Me Location dan The Eagle.
“Kita akan kerjasama dengan beberapa penajaan pihak bagi memastikan jualan tiket ini berjalan lancar dan insyallah akan ada promosi serta kita jangka akan habis dijual,”katanya semasa sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Harga tiket dijual bermula serendah RM 159 (Dagestan), RM259 (Undisputed), RM399 (Send me location), RM499 (The Eagle), RM1,699 (The Champion,) dan RM1,699 (royal box) dan dan ia terhad kepada 3000 orang terawal untuk acara ‘Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia 2024’ yang akan berlangsung pada hujung bulan ini di Kuala Lumpur.
Untuk rekod, Khabib memegang rekod cemerlang di UFC dengan mencatat kemenangan 13-0 dan 29-0 dalam keseluruhan karier pro MMA.