PENYERANG baharu Sabah FC, Ramon Machado menganggap dua gol yang dapat dijaringkan pada debutnya di Stadium Likas ketika membenam cabaran Kuching City FC 4-3 adalah sesuatu yang menakjubkan.
Machado yang dibawa masuk dari kelab Liga Azerbaijan, Gabala tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan bersama Skuad Badak sekaligus memberikan harapan untuk kembali bersaing dalam Liga Super.
Dua gol pada setiap babak dengan gol keduanya adalah gol kemenangan pada tambahan masa babak kedua menjadikan namanya disebut-sebut para penyokong yang nyata gembira dengan persembahannya.
“Menakjubkan apabila dapat jaringkan dua gol dalam debut. Saya tidak ingat pernah alami situasi menakjubkan seperti ini dalam karier saya. Terima kasih dan saya sangat gembira,” katanya selepas perlawanan.
Dia juga dilihat menjadi ‘instant hit‘ di kalangan penyokong Sang Badak yang tidak melepaskan peluang berswafoto bersamanya dan Ramon juga tidak keberatan melayan ragam penyokong yang nyata gembira dengan aksinya yang cemerlang.
Sabah FC sering mengalami masalah di bahagian serangan dengan kecederaan yang melanda pemain yang bermain di posisi itu namun kini kehadiran Machado dilihat bakal mengubah situasi itu dan tepat pada masanya untuk Sabah menghadapi kejohanan Piala AFC.
Machado kini sudah pasti sedia untuk diturunkan dalam aksi kedua menentang Sri Pahang FC juga di Stadium Likas pada Sabtu dengan kemenangan akan merapatkan jurang mata kepada Selangor, Sri Pahang dan Kedah bagi merebut tempat kedua liga.