MANCHESTER City akan kehilangan tiga pemain pertahanan utama untuk baki saingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas pengurus Pep Guardiola mengesahkan Ruben Dias tidak bermain untuk musim ini.

City merampas semula kedudukan teratas daripada Liverpool dengan menumpaskan Newcastle United 5-0 di Stadium Etihad, tetapi kegembiraan mereka agak terganggu dengan berita kecederaan itu.

Walaupun City miliki kelebihan tiga mata dengan baki tiga perlawanan, Guardiola perlu beraksi tanpa Dias, John Stones dan Kyle Walker (gambar) untuk perlawanan mereka menentang Wolverhampton Wanderers, West Ham United dan Aston Villa.

Masalah otot memaksa Dias dikeluarkan pada separuh masa menentang Newcastle manakala Stones dan Walker kedua-duanya mengalami kecederaan dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid.

“Ruben, Kyle dan John akan tersisih sehingga akhir musim ini. Aksi pramusim mungkin mereka sudah bersedia,” kata Guardiola.

Nathan Ake, pemain gantian yang tidak diturunkan ketika menentang Newcastle, juga bergelut dengan kecederaan buku lali. Guardiola berkata dia hanya mempunyai tiga pemain pertahanan yang cergas bertemu Wolves.

“Dia mempunyai masalah di buku lali untuk tempoh yang lama. Ia berlaku dalam perlawanan menentang Leeds dan dalam kondisi tidak selesa.

“Kami mempunyai Joao (Cancelo), Oleks (Zinchenko) dan Aymeric (Laporte),” tambah Guardiola.