PENJAGA gol Arsenal, Aaron Ramsdale meminta Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak memberikan cuti kebangsaan selama seminggu jika England memenangi Euro 2024.

England akan memulakan kempen mereka di Euro 2024 menentang Serbia di Stadium AufSchalke Arena, awal pagi Isnin.

The Three Lions masih dianggap sebagai antara calon juara walaupun kehilangan beberapa pemain seperti Jack Grealish, Harry Maguire, Marcus Rashford dan Jadon Sancho.

Mengenai peluang untuk menang, Aaron Ramsdale berharap Perdana Menteri Rishi Sunak memberikan cuti kebangsaan jika England memenangi Euro 2024.

“Ini sepatutnya cuti umum, betul, selama seminggu, kerana tiada siapa yang bekerja,” kata Ramsdale di saluran YouTube That’s Football, dipetik dari Sportbible.

Image

Bukayo Saka (kiri) dan Jude Bellingham serta Ramsdale melemparkan senyuman ketika menyertai latihan England semalam.

Bekas pemain pasukan kebangsaan England, Paul Merson turut menyatakan keyakinannya bahawa pasukan Gareth Southgate akan memenangi Euro 2024 selepas gagal dalam edisi sebelum ini.

“Saya akan terkejut, kagum, jika kami tidak memenanginya,” kata Merson kepada Sky Sports.

“Siapa yang boleh menewaskan kami? Mungkin Perancis. Tetapi ketika kali terakhir kami bermain, perlawanan itu sengit dengan Harry Kane terlepas sepakan penalti. Jika dia menjaringkan gol itu, hanya akan ada seorang pemenang,” tambah Merson.

Merson, yang pernah bermain untuk Arsenal dan Aston Villa, percaya Bukayo Saka dan rakan-rakannya mempunyai peluang besar untuk menang di Euro 2024.

“Jerman? Tidak. Portugal? Tidak, mereka adalah pasukan yang semakin tua. England mempunyai banyak pengalaman dari jatuh bangun. Mereka sudah bersedia,” kata Merson.