KECEDERAAN dialami Ng Tze Yong belum dapat dipastikan sama ada ringan atau sebaliknya, namun barisan kejurulatihan negara sudah menyediakan ‘pelan B’ bagi memastikan misi pemain utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu di landasan tepat ke Olimpik Paris.

Gara-gara kecederaan belakang yang menyebabkan Tze Yong menarik diri daripada perlawanan pusingan pertama Terbuka Malaysia menentang Koki Watanabe dari Jepun semalam, peluang buat pemain itu beraksi di Terbuka India dari 16 hingga 21 Januari ini menjadi tanda tanya.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky yakin barisan kejurulatihan akan membuat perancangan kejohanan baharu sekiranya kecederaan dialami Ng Tze Yong serius,

Pemain ranking ke-15 dunia itu hanya sempat turun ke gelanggang selama 13 minit ketika berdepan Watanabe sebelum dia memutuskan menarik diri ketika ketinggalan 8-12 di set pertama susulan kecederaan dialaminya itu.

“Kalau Tze Yong terpaksa menarik diri di Terbuka India, ini bermakna dia sudah terlepas dua kejohanan awal pada tahun ini. Jadi, jurulatih akan menyusun semula jadual kejohanan untuk dia sebelum kejohanan kelayakan Olimpik terakhir di Kejohanan Badminton Asia (April).

“Ini penting untuk kita memastikan dia kekal di landasan untuk layak ke Sukan Olimpik,” kata Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

Ng Tze Yong melompat dan melakukan smash bagi mematikan bulu tangkis ketika menentang Koki Watanabe (Jepun). Akibat smash dilakukannya pada mata 7-7, dia mengalami kecederaan belakang dan menarik diri daripada meneruskan permainan.

Sementara itu, jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Tey Seu Bock berkata, pihaknya belum berpeluang berjumpa doktor hari ini dan dijangka temu janji seterusnya akan berlangsung esok.

“Selepas tamat perlawanan semalam, memang dia ada jumpa doktor dan lakukan imbasan tetapi belum dapat tahu secara terperinci. Jadi, kita akan tunggu doktor berhubung situasi Tze Yong.

“Sebelum ini pun memang ada rasa sakit-sakit badan, namun itu perkara biasa untuk atlet kerana sering menjalani latihan, cuma sekarang kita nak tahu sama ada ia kecederaan otot atau sebaliknya,” katanya.