BANYAK pihak mengandaikan Speedy Tigers mesti menjuarai Piala Negara-Negara FIH yang akan bermula Isnin depan, terutamanya apabila pasukan kebangsaan menduduki ranking tertinggi berbanding tujuh lagi negara yang mengambil bahagian di Potchefstroom, Afrika Selatan.

Namun andaian sebegitu ditolak bulat-bulat pengendali skuad kebangsaan, A Arulselvaraj.

Menurut beliau, pandangan orang luar yang tidak terlibat dengan pengetahuan sukan hoki berprestasi tinggi, hanyalah pendapat semata-mata.

“Ranking itu sekadar mata. Esok kita boleh turunkan pemain tiada nama, saya ada tujuh pemain tiada kaps antarabangsa, dan apabila turun bermain, tetap menggunakan nama Malaysia. Begitu juga sekiranya Korea Selatan menurunkan 30 pemain yang memiliki 300 kaps.. tetap namanya Korea Selatan juga.

“Jadi ranking ada masanya tidak diambil kira, ia hanya di atas kertas kerana yang penting permainan pada hari perlawanan,” kata Arul.

Empat pasukan bersaing dalam Kumpulan A Piala Negara-Negara FIH di Potchefstroom, Afrika Selatan.

Dalam aksi di Potchefstroom itu, Malaysia di undi dalam kumpulan B, bersama Kanada, Jepun, Korea Selatan, manakala kumpulan A pula membabitkan Perancis, Ireland, Pakistan dan tuan rumah, Afrika Selatan.

Berbanding semua pasukan, skuad negara berada dalam ranking tertinggi FIH iaitu ranking ke-10 dunia, diikuti Perancis (11), Korea Selatan (12), Ireland (13), Kanada (14), Afrika Selatan (16), Pakistan (17) dan Jepun (18).

Malaysia mengetuai empat pasukan bersaing dalam Kumpulan B Piala Negara-Negara FIH di Potchefstroom, Afrika Selatan.

Justeru, beliau enggan dilabel pilihan dan meletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir terlebih dahulu.

Dalam saingan kumpulan B, Speedy Tigers mungkin sudah cukup helah untuk menghadapi cabaran Jepun dan Korea Selatan kerana sering bertemu di pentas antarabangsa baik kejohanan mahupun perlaawanan persahabatan.

Namun Arul tidak memandang enteng cabaran dua pasukan Asia ini kerana sering tampil dengan cabaran sengit, berbanding Kanada yang amat jarang ditemui.

“Kanada ada perubahan staf kejurulatihan apabila mengambil jurulatih baru dari Afrika Selatan. Kita pernah bermain dengannya di Malaysia. Jadi kita ada sedikit maklumat mengenai mereka selain kita juga akan mengkaji aksi mereka di Sukan Pan Amerika,” kata Arul.

Skuad kebangsaan pernah menentang Kanada dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah 2019, di peringkat kumpulan dan penentuan tempat ketiga.

Speedy Tigers menang kedua-dua perlawanan di pusingan round robin dan juga penentuan tempat ketiga.

Sebagai persediaan menghadapi Piala Negara-Negara, Speedy Tigers yang sudah tiba di Potchefstroom, menjalani perlawanan persahabatan menentang pasukan tuan rumah hari ini, yang berkesudahan seri 1-1.

Kedudukan terkini saingan Pro League FIH musim 2022/2023, yang sedang berlangsung.

Selain menjadi persediaan ke Piala Dunia yang akan berlangsung di India Januari tahun hadapan, Piala Negara-Negara FIH juga penting buat skuad negara bagi melayakkan pasukan beraksi di Pro League FIH musim 2023-2024.

Hanya juara Piala Negara-Negara FIH akan dinaikkan ke Pro League, manakala pasukan tercorot Pro League musim ini akan diturunkan ke Piala Negara-Negara.

Pada musim 2022-2024, sembilan pasukan beraksi di Pro League iaitu India, Jerman, Sepanyol, Belgium, Argentina, New Zealand, Australia, Great Britain dan Belanda.

Jika Malaysia menjuarai Piala Negara-Negara, ia peluang terbaik buat masa depan hoki negara kerana Speedy Tigers akan mendapat peluang beraksi menentang terbaik dunia yang mempamerkan permainan berintensiti dan tempo tinggi.