PASUKAN bola sepak kebangsaan Malaysia meraih satu lagi kejayaan selepas mengalahkan Lubnan dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka semalam.

Kemenangan ini bukan sahaja menjulang Malaysia sebagai juara kejohanan, tetapi juga melonjakkan kedudukan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) ke tangga ke-132 dunia sekali gus memberikan harapan baru kepada penyokong setia bola sepak tanah air.

Kemenangan ke atas pasukan ke-116 dunia itu membolehkan Malaysia meraih tambahan +5.68 mata untuk mengumpul 1117.68 mata.

Kedudukan itu bagaimanapun masih belum muktamad sebelum kemas kini rasmi Fifa pada 19 September ini.

Pengendali sementara Harimau Malaya, Pau Marti Vicente, menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil kerja keras para pemain.

“Kami layak untuk menang. Ia perlawanan yang sukar, tetapi pasukan kami berjuang hingga ke akhir,” katanya.

Pestabola Merdeka kali ini dilihat sebagai platform penting dalam menilai prestasi pasukan dan bakal mempengaruhi persediaan mereka untuk kejohanan-kejohanan antarabangsa seterusnya.

Prestasi cemerlang ini turut menyuntik semangat buat skuad kebangsaan meskipun kontroversi yang melanda bola sepak Malaysia.