HANYA dua pemain badminton negara, mempamerkan kemajuan selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memuat naik kemaskini ranking hari ini.

Prestasi dua gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing, sepanjang bulan ini, banyak membantu mereka berada di kedudukan lebih baik dalam ranking dunia.

Tang Jie-Ee Wei, menghuni kedudukan terbaik sejak digandingkan Oktober tahun lalu, apabila melonjak empat anak tangga untuk berada di kedudukan ke-15 dunia, selepas menjuarai Terbuka Taiwan, Ahad lalu.

Gandingan terbabit turut cemerlang di Terbuka Singapura, selepas mara ke separuh akhir.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sudah meraih tiga tahun ini.

Malah, mereka kini muncul pasangan beregu campuran kedua terbaik negara, di belakang Goh Soon Huat-Shevon Lai (ranking 7 dunia) selepas memintas gandingan profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang turun ke tangga ke-18 dunia.

Sementara itu, Pang Ron-Mei Xing mendaki lima anak tangga, kini berada di ranking ke-36 dunia.

Gandingan terbabit mara ke suku akhir Terbuka Taiwan, malah awal bulan ini, Pang Ron-Mei Xing merangkul kejuaraan di Cabaran Antarabangsa Maldives.

Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing mempamerkan kemajuan meskipun agak perlahan dibandingkan dengan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Dalam perkembangan sama, ranking pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia terus merosot ke kedudukan ke-14 dunia, manakala Ng Tze Yong jatuh ke ranking ke-21.

Gandingan beregu lelaki, menyaksikan juara dunia 2022, Aaron Chia- Soh Wooi Yik kekal di ranking keempat diikuti pasangan profesional Ong Yew Sin- Teo Ee Yi (keenam) dan juara Terbuka Taiwan 2023, Man Wei Chong-Tee Kaiwun (23).

Selain itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah kekal di ranking ke-12 dunia.