BEKAS bintang LaLiga dan penyerang Ghana, Raphael Dwamena meninggal dunia selepas rebah semasa perlawanan Liga Super Albania pada Sabtu. Persekutuan Bola Sepak Albania mengesahkan kematian pemain berusia 28 tahun itu.

Sebuah rakaman di media sosial menunjukkan pemain itu sendirian sebelum rebah di padang pada minit ke-24 perlawanan antara Egnatia Dwamena dan Partizani.

Dalam kejadian itu, pemain lain bergegas menghampirinya dan walaupun mendapatkan perubatan segera, pihak Persekutuan memaklumkan pemain tersebut telah meninggal dunia.

Perlawanan dihentikan pada kedudukan 1-1 dan tidak diteruskan. Dwamena, penjaring gol terbanyak musim ini dengan sembilan gol dalam Liga Super Albania, membuat lapan penampilan untuk Ghana dan menjaringkan dua gol.

Satu kenyataan rasmi dari pasukan bola sepak Ghana berkata: “Persatuan Bola Sepak Ghana bersedih dengan berita kematian bekas pemain kami, Raphael Dwamena, dan ingin menyampaikan takziah yang mendalam kepada keluarganya pada saat sukar ini.”

Tiada butiran mengenai kemungkinan punca kematian diberikan oleh pihak Persekutuan Albania, namun laporan media tempatan memberi tumpuan kepada masalah jantung terdahulu Dwamena, termasuk satu perlawanan pada 2021 bersama Blau-Veis Linz di Austria ketika dia dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung.

Sebelum ini, Dwamena pernah berkhidmat di Sepanyol, Denmark dan Switzerland sepanjang kerjayanya. Jurulatih Brazil pasukan kebangsaan Albania, Sylvinho, berkata di media sosial: “Bersemadi dengan aman. Takziah kepada keluarga dan rakan-rakan.”

Kelab Sepanyol Levante dan Zaragoza turut mengucapkan takziah atas kematian bekas pemain mereka.

Terdahulu, Dwamena menandatangani kontrak untuk Levante pada tahun 2018 dan bermain satu musim sebelum dipinjamkan ke Zaragoza, di mana dia bermain pada musim 2019-20.

“Ingatan kami bersama keluarga dan orang tersayangnya dalam saat-saat sukar ini. Legasinya dalam kelab kami akan kekal selama-lamanya,” kata Levante di platform X.

Zaragoza juga berkata di X: “Kami terkejut dengan berita sedih tentang kehilangan bekas pemain kami, Raphael Dwamena. Anda akan sentiasa berada dalam ingatan peminat Zaragoza. Bersemadilah dengan aman.”