PENUNDAAN undian kumpulan beregu lelaki bagi saingan Sukan Olimpik 2024, membuatkan kem badminton negara sedikit resah.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, kem badminton negara ternanti-nanti undian itu kerana perlu melakukan percaturan dan memberi perhatian yang lebih kepada aspek tertentu dalam latihan bersesuaian dengan lawan yang bakal ditemui di peringkat kumpulan.

“Memang kita mengharapkan bahawa sudah tahu undian kumpulan semalam, tetapi disebabkan ada masalah perlu diselesaikan (Persekutuan Badminton Dunia-BWF) sebelum undian dilakukan… entah bila pula undian mengenainya,” kata Rexy, ketika dihubungi.

Semalam, BWF mengendalikan undian Sukan Olimpik Paris 2024, namun bagi beregu lelaki terpaksa ditunda ke tarikh yang akan diumumkan kelak, berikutan ada isu berbangkit berhubung slot kelayakan atlet yang diputuskan di Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

Pengarah Kejurulatihan, Rexy Mainaky berdebar menanti undian beregu lelaki.

Menurut laporan oleh Reuters, beregu Perancis, Lucas Covee dan Ronan Labar diputuskan oleh CAS, layak untuk beraksi di Temasya Paris yang akan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos.

Pasangan itu, tercicir dari senarai keayakan selepas BWF membuat pembetulan senarai ranking pada April lalu, terhadap kesilapan kira-kira mata pada 2023, memaksa pasangan itu membawa kes tersebut kepada CAS.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) juga telah menerima permohonan BWF bagi membuat pengecualian keapda Corvee-Labar untuk beraksi dalam acara beregu yang biasanya hanya membabitkan 16 beregu.

IOC dipetik sebagai berkata, tiga kumpulan akan ditandingi empat pasukan manakala satu kumpulan akan membabitkan lima pasangan.