LEGENDA badminton negara, Datuk Rashid Sidek dilantik sebagai Ketua Jurulatih dan Pengarah Program Latihan Akademi Badminton IOI Rashid Sidek yang dilancarkan pada Khamis.

Pelancaran akademi ini adalah bersempena pembukaan Pusat Sukan IOI bertaraf dunia di Anjung Baharu IOI City Mall, Putrajaya yang dijangka bakal menjadi sebutan orang ramai terutamanya peminat badminton.

Satu-satunya fasiliti pusat sukan di dalam pusat beli belah ini merangkumi 15 gelanggang badminton dan dua gelanggang futsal mini yang boleh digabungkan menjadi arena futsal atau ruang acara.

Sebanyak 15 gelanggang badminton di bawah satu bumbung.

Selain Rashid, turut hadir di majlis pelancaran itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOI Properties Berhad, Datuk Voon Tin Yow dan beberapa Eksekutif Kanan kumpulan hartanah itu.

“Badminton adalah sukan yang menyatukan kita rakyat Malaysia. Pembukaan anjung baharu pusat beli belah ini bukan sahaja destinasi untuk berbelanja atau menjamu selera. Pusat Sukan IOI ini akan menarik minat mereka yang gemarkan aktiviti aktif dan kehidupan sihat.

“Kami juga berharap agar arena bertaraf antarabangsa ini dapat menganjurkan kejohanan badminton peringkat kebangsaan pada masa akan datang,” kata Tin Yow ketika majlis pelancaran tersebut.

Tin Yow (dua,kiri) dan Rashid Sidek (tengah) di sidang media pelancaran Pusat Sukan IOI.

Rashid memberitahu beliau gembira dengan penubuhan Pusat Sukan IOI ini yang boleh digunakan untuk mencungkil lebih ramai bakat-bakat baharu dalam sukan badminton serta menjadi pusat latihan buat pemain-pemain elit negara.

“Malaysia secara konsisten melahirkan pemain badminton bertaraf dunia yang membawa kebanggaan kepada negara. Ramai lagi bakat-bakat baharu yang menunggu masa untuk dikenalpasti.

“Saya gembira dengan pembinaan Pusat Sukan IOI ini kerana ianya akan menjadi platform untuk membangunkan bakat-bakat baharu. Selain itu pusat sukan ini juga boleh digunakan oleh pemain-pemain elit negara sebagai pusat latihan untuk lebih berdaya saing dalam sukan badminton yang kompetitif,” kata Rashid dalam sidang media.

Akademi Badminton IOI Rashid Sidek ini telah didaftarkan dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia sebagai badan sukan dibawah Seksyen 17, Akta Pembangunan Sukan Malaysia.