BEKAS pemain Manchester United, Ravel Morrison, diperintah untuk membayar hampir £2,000 (RM11,868.48) setelah didapati menggunakan lesen biru milik individu yang telah meninggal dunia di pusat bandar Manchester.

Morrison, 30 mengakui bahawa dia membeli lesen tersebut ‘daripada seseorang di Old Trafford’ dan disabitkan dengan tuduhan penipuan.

Pemain antarabangsa Jamaica itu merupakan bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah bermain dengan Manchester United, West Ham dan Sheffield United di antara kelab lain.

Penipuan itu berjaya dikesan apabila penjaga tempat letak kereta majlis tempatan melihat sebuah Audi putih yang diparkir di Bridgewater Street di Castlefield, Deansgate pada Mei 2022 dengan mempamerkan lesen biru. Namun, pemilik lesen tersebut didapati telah meninggal dunia pada tahun sebelumnya.

Morrison most recently played for Major League Soccer side DC United

Menurut kenyataan dari Majlis Bandaraya Manchester, Morrison mengambil keretanya yang disita pada hari yang sama. Dia membuat pengakuan dalam temubual bahawa dia telah membeli lesen itu daripada ‘seseorang di Old Trafford.’

Pemain tengah itu mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan penipuan di Mahkamah Majistret Manchester pada Khamis.

Morrison, yang tinggal di Westbrook, Warrington, didenda sebanyak £1,000 (RM5,934.24) kerana kesalahan tersebut. Dia juga diarahkan membayar kos sebanyak £508.32 (RM3,016.49) dan caj mangsa sebanyak £400 (RM2,373.70).

Jurucakap Majlis Bandaraya berkata: “Keputusan ini menunjukkan bahawa undang-undang terpakai kepada semua orang, tanpa pengecualian. Saya berterima kasih kepada pegawai penyiasat kami serta peguam kami yang dapat mengendalikan kes ini dengan berjaya.”

“Pegawai kami bergerak di jalan setiap hari untuk memastikan Lesen Biru digunakan secara sah, dan kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika kami menemui orang yang cuba mengelak undang-undang.”

Morrison merupakan graduan dari akademi Manchester United selepas memenangi Piala Belia FA pada tahun 2011 dan menyertai West Ham pada Januari 2012.

Dia telah bermain sebanyak 24 kali bagi West Ham dan menjalani pinjaman sementara dengan Birmingham City, QPR, dan Cardiff. Pemain tengah ini kemudian bermain untuk Lazio di Itali, Atlas di Mexico, dan Ostersund di Sweden sebelum kembali ke England.

Sheffield United memberi Morrison peluang untuk membangunkan semula kerjayanya di Liga Perdana pada Julai 2019, namun dia hanya membuat empat penampilan untuk pasukan itu. Morrison kemudiannya bermain untuk Middlesbrough, pasukan Belanda ADO Den Haag, Derby, dan yang terkini, DC United di Major League Soccer.