RAYUAN Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) membabitkan penyokong membakar suar ditolak sekaligus hukuman denda berjumlah RM120,000 bagi ketiga-tiga kes berkaitan adalah dikekalkan.
Keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kali keenam bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Jumaat.
Mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh CP (Bersara) Datuk Seri Mohammad Mokhtar Mohamad Shariff selaku pengerusi jawatankuasa berkenaan telah membincangkan sebanyak empat kes.
Bagi kes keempat, mesyuarat turut memutuskan membabitkan pemain Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim, penggantungan selama sebulan dari 25 Julai hingga 23 Ogos 2023 adalah dikekalkan.
Bagaimanapun, jawatankuasa bersetuju untuk memberi kelonggaran membenarkan Mohamad Faisal kembali turun menjalani sesi latihan bersama Selangor FC berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan beliau dapat mengekalkan tahap kecergasannya sebagai seorang pemain bola sepak.