PELUANG melihat pasukan hoki kebangsaan kembali ke Olimpik selepas 23 tahun tercicir, cerah dengan kehadiran pemain senior yang sebelum ini dibelenggu kecederaan.

Pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Rahim percaya kehadiran semula rakan-rakan sepasukannya yang sebelum ini direhatkan akibat kecederaan, menjadikan The Speedy Tigers lebih kuat menghadapi saingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Paris, apabila saingan berlangsung di Muscat, Oman dari 15 hingga 21 Januari ini.

Menurutnya, latihan terakhir sebelum 18 pemain terpilih diumumkan esok, menyaksikan semua pemain, baik yang baru kembali semula bersama pasukan mahupun pemain remaja yang dipanggil, memberi komitmen tinggi dalam memastikan terpilih ke Oman.

Malah, dia yakin pemain hadir dengan mentaliti berbeza, sejak pulang dari persiapan di New Zealand.

Pakar pukulan sudut penalti, Razie Rahim yakin kemampuan pemain yang bakal dipilih

“Saya sangat yakin kerana peluang skuad negara untuk ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 memang sangat cerah. Melihat kepada semangat para pemain yang turun ke sesi latihan ini, mereka mempunyai keyakinan sangat tinggi untuk ke Muscat, Oman.

“Sebab itu, saya percaya pemain negara yang terpilih ke Oman nanti akan bermain dengan cukup baik. Bagi pendapat saya, ketika ini pemain tidak berdepan sebarang gangguan malah saya mahu membantu skuad ini ke Olimpik.

“Tiada perkara yang merisaukan saya kerana kami akan turun dengan misi ‘nothing to lose’ kerana ini adalah peluang terakhir skuad negara ke Olimpik,” katanya, ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Shello Silverius (tiga dari kiri) dan Fitri Saari (empat dari kiri) kembali memperkuatkan skuad negara pada pusingan kelayakan Olimpik Paris, di Muscat Oman.

Skuad negara dijadual bertolak ke Oman pada 11 Januari ini, empat hari lebih awal dari tarikh kejohanan, untuk menghadapi dua aksi persahabatan menentang Kanada dan Chile sebelum membuka kempen kumpulan A menentang China, lima hari kemudian.

Skuad negara yang kini di ranking ke-12 dunia, akan meneruskan saingan menentang Great Britain (16 Januari) dan Pakistan (18 Januari) dengan misi menempatkan diri sebagai dua pasukan terbaik untuk layak ke separuh akhir.

Hanya tiga pasukan yang beraksi di Oman akan mendapat tiket ke Paris, manakala tiga lagi slot direbut pasukan yang beraksi di Valencia, Sepanyol (13-21 Januari).

Selain Malaysia, Great Britain, Pakistan dan China dalam kumpulan A di Oman, tiga slot kelayakan turut direbut Jerman, New Zealand, Kanada dan Chile yang beraksi dalam kumpulan B.

Sementara itu, lapan pasukan berentap merebut tiga slot kelayakan di Valencia membabitkan Belgium, Ireland, Jepun dan Ukraine dalam kumpulan A manakalala Sepanyol, Korea, Austria dan Mesir dalam kumpulan B.

Untuk rekod, Malaysia sembilan kali layak beraksi di Temasya Sukan Olimpik dan kali terakhir tampil pada Temasya Syeney tahun 2,000.