SELEPAS baharu sebulan dipilih sebagai presiden Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA), tindakan Datuk Razlan Razali, meletak jawatan diumpamakan sengaja mencoret imej buruk kepada persatuan.
Malah beberapa tindakannya termasuk bersendirian bertemu keluarga pelumba, disifatkan membelakangi KLCA.
Menurut Timbalan Presiden KLCA, Firdaus Arshad, isu perkauman yang turut dibangkitkan dalam pertemuan dengan keluarga pelumba juga tidak berasas, apabila ia ditujukan kepada jurulatih berpengalaman Datuk Ng Joo Ngan yang cukup dikenali meluangkan sebahagian kehidupannya demi sukan berbasikal negara.
“Tindakan Razlan tidak profesional kerana dia sudah dimaklumkan bahawa KLCA akan mengadakan mesyuarat pada Ahad ini, selepas menerima surat daripada keluarga pelumba menerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan pentadbiran KLCA.
“Ia mengundang persepsi buruk pada sukan berbasikal pada hal beliau sudah dimaklumkan, keadaan semasa KLCA yang sememangnya bergantung harap kepada bantuan daripada MSWP,” katanya, pada sidang media di Cheras.
Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan yang Razlan sudah meletak jawatan sebagai presiden KLCA, selepas kurang dari sebulan memegang kerusi itu.
Dalam laporan terbabit, Razlan dipetik telah mengadakan satu perbincangan dengan pelumba muda KLCA, keluarga mereka, bekas pelumba dan juga wakil dari Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) pada 14 Mac lalu.
Menurut laporan yang dipetik daripada akhbar berkenaan juga, pada pertemuan itu, beberapa keluarga mendakwa bahawa isu membabitkan perkauman (rasis), pecah amanah dan penyalahgunaan dana daripada MSWP sudah berlaku dalam persatuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sehari kemudian, Razlan bertemu dengan jawatankuasa KLCA dalam satu pertemuan yang berlangsung hangat bagi membincangkan isu yang dibangkitkan namun ia berakhir dengan surat peletakan beliau pada 16 Mac.
Firdaus berkata, beliau tidak ada masalah untuk menjawab segala pertuduhan Razlan yang mana perkara itu sudah dimaklumkan sebelum ini kepada Razlan.
“Perkara ini akan kita bawa ke mesyuarat persatuan yang akan berlangsung Ahad ini.
“KLCA juga akan bertindak berdasarkan nasihat daripada PJS (Persuruhjaya Sukan, Surhadi Alias).
“Malah kami tidak gentar jika dia nak membawa perkara itu ke SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau polis, kerana kami mempunyai laporan lengkap,” katanya sambil menegaskan bahawa rekod penyaluran dana daripada MSWP, dan perbelanjaan lengkap dicatatkan.