TIADA masalah untuk Datuk Razlan Razali kembali memimpin Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA), namun segala hiruk pikuk yang berlaku dalam badan induk sukan berbasikal Kuala Lumpur itu, perlu diperbaiki.
Setelah meletak jawatan sejurus mendengar keluhan daripada ibu bapa pelumba, mengenai anak-anak mereka tidak dilayan sebagai seorang atlet yang berbakti untuk negeri itu, beliau terus menjadi tempat mengadu ibu bapa yang sudah berkali-kali mahu bertemu wakil persatuan selama ini.
Malah, isu dibangkitkan ibu bapa mengenai masalah elaun serta pengabaian soal keselamatan dalam latihan, ia memburukkan lagi keadaan.
Razlan berkata, peletakkan jawatannya itu dibuat bukan keputusan semborono sebaliknya kecewa dengan sesetengah pemimpin dalam persatuan yang bersikap acuh tak acuh terhadap isu yang ditimbulkan ibu bapa pelumba.
Lebih mengecewakannya, apabila dimaklumkan ada pelumba perempuan berusia 13 tahun, ditinggalkan di laluan berbahaya kawasan berbukit tanpa pengawasan KLCA, sewaktu latihan.
“Bila kita mendengar situasi sekarang terutama keluhan dari pihak ibu bapa sebentar tadi, terutama soal anak-anak mereka, kita bersimpati dengan apa yang telah terjadi.
“Mendengar ada pelumba perempuan berusia 13 tahun ditinggalkan sewaktu latihan di Bukit Hantu, Hulu Langat kerana gagal mengejar pelumba senior yang jauh di hadapan, laluan pula berbahaya, ini satu perkara serius.
“Macam mana KLCA boleh tinggalkan budak perempuan seperti itu yang kita tahu jalan raya ini berbahaya terutama kemalangan.
“Jadi, kini semua sudah jelas dan semua pihak tahu apa yang telah berlaku dalam KLCA. Jadi, saya bersedia untuk kembali memimpin KLCA semula dan bina balik persatuan ini,” katanya, pada sidang media bersama ibu bapa dan bekas pelumba di ibu negara pada Jumaat.
Dalam pada itu, Razlan turut menuntut barisan 13 ahli jawatankuasa (AJK) tertinggi KLCA, membuka mata dan membuat pilihan sama ada menerima ataupun tidak peletakkan jawatan tersebut.
“Kini terserah kepada 13 AJK KLCA membuat pilihan kerana kita telah mendengar dari kedua-dua belah pihak. Apa yang boleh saya katakan ialah perubahan harus dilakukan demi membina pasukan berbasikal terbaik di Kuala Lumpur.”