MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan Siri Kelayakan Kebangsaan Malaysia Asian Electronic Sports Federation (RDAG) sebagai persediaan menuju ke Sukan Asia 2022.
Pengumuman ini dilakukan oleh Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin dan turut dihadiri oleh Chef De Mission ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt dan juga wakil dari Asian Electronic Sports Federation, Steve Kim.
RDAG adalah program E-Sukan yang direka secara kerjasama oleh Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Asian Electronic Sports Federation (AESF) sebagai persediaan menghadapi acara E-Sukan di Hangzhou nanti.
RDAG menampilkan lapan permainan seperti FIFA Online 4, PUBG Mobile (Versi Sukan Asia), League of Legends, Arena Valor, Street Fighter V, Dota2, dan Dream Three Kingdoms 2.
Selain itu, MOM juga akan membuka pendaftaran kepada semua ‘gamers’ yang mempunyai inspirasi untuk mewakili negara dalam kategori E-Sukan ke Sukan Asia Hangzhou 2022. Mereka yang ingin mendaftar boleh ke laman web www.olympic.org.my atau ke laman IO Esports.
Dalam pada itu, Nazifuddin juga berharap RDAG dapat membantu mempromosi sukan ini dan secara langsung dapat melahirkan lebih ramai pemain baharu.
MOM teruja dengan acara E-Sukan ini dan beliau juga mengalu-alukan pendaftaran lebih ramai pemain untuk mewakili Malaysia.
Pada majlis yang sama, RDAG telah melantik Firdaus Hashim atau lebih dikenali sebagai ‘Master Ramen’ dikalangan penggiat E-Sukan sebagai Ikon untuk RDAG ke Sukan Asia Hangzhou ini.
Kejohanan RDAG yang dianjurkan oleh MOM ini mendapat tajaan daripada JBL dan disokong oleh IO ESports dan akan dilangsungkan di Battle Arena pada tarikh yang akan diberitahu kelak.