REAL Betis muncul juara Copa del Rey 2021/2022 selepas mengalahkan Valencia 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti di Estadio La Cartuja pada Ahad.

Kemenangan dicatat Real Betis juga menamatkan penantian 17 tahun tanpa trofi pertandingan ini sejak kali terakhir mendakap gelaran pada 2004/2005.

Pasukan pimpinan Manuel Pellegrini memimpin permainan dengan jaringan Borja Iglesias seawal minit ke-11. Kedudukan itu tidak kekal lama kerana ketika leka menyerang, gawang Betis berjaya dibolosi oleh Hugo Duro yang menyumbang gol penyamaan bagi Valencia m-30.

Tiada lagi jaringan terhasil oleh kedua-dua pasukan di babak kedua termasuklah semasa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan 30 minit. Pemenang terpaksa ditentukan melalui tendangan penalti.

Kejuaraan milik Real Betis apabila lima penalti diambil pemain menemui sasaran manakala Valencia gigit jari setelah sepakan Yunus Musah gagal disudahkan.