KETUA Jurulatih Taiwan, Gary White mengakui dua faktor – ‘recruiting Harimau Malaya dan Johor Darul Ta’zim menjadi sebab utama mengapa skuad bola sepak kebangsaan berada pada tahap tertinggi yang pernah dicapai dalam era bola sepak moden.
White ditemui FLASH SUKAN ketika sesi sidang media pra perlawanan Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Taipei turut berkata sesuatu yang betul sedang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selain penglibatan JDT dalam kejohanan tertinggi kelab Asia, Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Kebersamaan dan sinergia yang ada pada badan pentadbir bola sepak dengan kelab paling berjaya di Malaysia ketika ini disifatkan sebagai pemangkin kejayaan Harimau Malaya hingga mampu mengejutkan lawan yang mempunyai ranking lebih tinggi.
“Anda mempunyai pasukan yang hebat dan sesiapa yang melakukan proses pengambilan pemain menjalankan tugas yang baik dengan mencari bakat di seluruh dunia yang boleh bermain untuk Malaysia.
“Pada saya kelab anda, Johor juga banyak membantu. Johor adalah sebuah kelab yang besar dan melabur banyak wang untuk meningkatkan kualiti permainan dan kini sudah sering bermain di peringkat tertinggi kelab Asia.
“Hasilnya anda kini mempunyai banyak pemain yang berpengalaman beraksi di peringkat antarabangsa dan Arif Aiman adalah salah seorang pemain yang perlu diperhatikan kerana kepantasannya,” katanya.
Sejak ditubuhkan oleh pemilik, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, JDT berjaya mengubah lanskap bola sepak Malaysia apabila menerapkan elemen professional dalam pengurusan, fasiliti dan permainan sekaligus dapat membantu menghasilkan pemain yang lebih berkualiti untuk beraksi bersama Harimau Malaya.
Penekanan layak ke kejohanan AFC untuk beraksi bersama pasukan yang berkualiti dari pelusuk Asia membuka mata dan minda penyokong bola sepak tempatan yang kini meletakkan sasaran kelab untuk sekurang-kurangnya layak ke Asia.
Perkara ini nampaknya sudah menjadi bualan dan perhatian pasukan luar negara yang tidak lagi memandang enteng cabaran kelab dan pasukan kebangsaan dari Asia Tenggara kerana Harimau Selatan telah membuktikan mereka mampu bersaing di peringkat tertinggi.
Sebelum ini pengendali Korea Selatan yang juga legenda Jerman, Jurgen Klinsmann turut memuji fasiliti yang ada di Stadium Sultan Ibrahim dan dia sendiri tidak terkejut JDT berjaya menewaskan Ulsan Hyundai kerana mereka sememangnya sebuah kelab yang bagus dan bermain dengan jiwa.
Malaysia dalam misi memburu tiga mata penuh ke atas Chinese Taipei dalam Kumpulan D selepas menundukkan Republik Kyrgyz untuk mencerahkan peluang layak ke peringkat ketiga kelayakan Piala Dunia dan layak secara merit sekali lagi ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.