LEWIS Hamilton mengakui bahawa Red Bull terlalu pantas untuk ditewaskan ketika Grand Prix Mexico City selepas harapan mereka untuk menang secara strategi tidak berhasil.
Kedua-dua pemandu Mercedes, Hamilton dan George Russell memulakan perlumbaan dengan tayar pertengahan ketika Mercedes cuba untuk mengejutkan Red Bull yang bermula dengan tayar lembut.
Walaupun pada awalnya Mercedes dilihat mencuba untuk melakukan hentian pit lewat tetapi mereka menukar strategi Hamilton di pertengahan perlumbaan diikuti oleh Russell selepas itu.
Gave it his absolute all!! A strong P2 finish for Lewis in Mexico City 👏👏 pic.twitter.com/q83rcxxjOn
— Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team (@MercedesAMGF1) October 30, 2022
Mereka sekali sekala dapat menyamai kelajuan Red Bull tetapi perjudian untuk menanti tayar pertengahan Max Verstappen dan Sergio Perez menjadi perlahan tidak menjadi kenyataan.
“Saya rasakan saya begitu hampir pada awal perlumbaan tetapi nampaknya Red Bull terlalu pantas hari ini dan mungkin juga mereka mempunyai strategi tayar yang lebih berkesan.
“Saya juga tidak pasti sama ada tayar keras adalah tayar yang sesuai ketika akhir perlumbaan. Saya berpendapat kami harus memulakan perlumbaan dengan tayar yang lebih lembut tetapi kami menggunakan strategi yang sebaliknya.
“Tahniah kepada Max tetapi saya gembira untuk berada di atas podium dan dapat memisahkan dua pelumba Red Bull ini,” katanya selepas perlumbaan.
Hamilton terpaksa berpuas hati di tangga kedua, ketinggalan 15 saat dibelakang Verstappen dengan Sergio Perez ketiga dan George Russell keempat sebelum kesemua pelumba akan ke Brazil untuk Grand Prix Sao Paolo minggu hadapan.