PETANDA positif skuad regu sepak takraw negara biarpun terlepas meraih pingat emas temasya Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja pada Selasa.
Saingan sengit berjaya diberikan regu yang diketuai tekong Mohammad Syahir Rosdi, Amirul Zazwan Amir (apit kiri) Mohamad Azlan Alias (apit kanan) selepas kalah set pertama 21-12.
Gelombang kebangkitan dipamerkan regu negara di set kedua dengan mengutip mata demi mata dan mendahului regu berbisa Thailand yang dibarisi Kritsanapong Nontakote, Pattarapong Yupadee dan Thawisak Thongsai, untuk menang 23-21.
Malangnya, pertukaran strategi pasukan Gajah Putih memasukkan regu berpengalaman, Siriwat Sakha dan Varayut Jantarasena di set penentuan mengakibatkan regu negara sedikit tergamam.
“Set ketiga kami tak sangka dengan perubahan permainan yang dibuat oleh Siriwat. Memang kami tak dapat jangka dia punya strategi. Pada set kedua kami boleh adapt lagi. Bila set ketiga dia mula tukar strategi, kami pun masih tercari-cari dia punya bola dan kami tak dapat nak kawal bola dia.
“Kami tak pernah bermain sebegini rupa macam sebelum ini. Kami tak tahu apa dia akan buat. Kami akan belajar dan terus belajar untuk tahu jika mata macam ni apa kena dibuat.
“Insya Allah selepas ini kami akan buat terbaik,” kata Syahir selepas perlawanan kepada pemberita di Dewan Bola Keranjang Stadium Olimpik Phnom Penh di sini.
Sementara itu, Amirul mengakui ada melakukan perbincangan bersama rakan sepasukan sebelum bermula set ketiga tetapi tetap tidak menjangka rentak permainan ditunjukkan Thailand.
“Dia ubah dari segi serangan dan saya dah bincang dengan Azlan kalau dia buat bola drop memang Azlan akan pergi. Saya akan tunggu bola panjang tepat ke badan.
“Memang tak jangka permainan mereka. Selepas ini, kami akan catch up lebih baik (bangkit aksi berikutnya),” katanya.
Tewas kepada Thailand bermakna Malaysia terlepas peluang mendapat pingat emas dalam acara regu lelaki pada edisi dwitahunan kali ini dan terpaksa berpuas hati meraih pingat perak yang turut disertai pasukan Kemboja dan Singapura.