KEKALAHAN kepada Thailand, menjadi satu-satunya pilihan yang mahu dielak, namun sudah sehabis daya dilakukan, regu sepak takraw negara terpaksa akur, negara Gajah Perang itu masih kuasa sepak takraw dunia.
Menurut ketua pasukan, Mohammad Syahir Rosdi, pemain sudah berjuang berhabis-habisan sepajang perlawanan dan amat ketara kebangkitan cuba dipamerkan pada set kedua.
Sebelum kejohanan lagi kami tahu Thailand ada banyak kelebihan, namun semangat juang kami tidak pernah luntur sepanjang kejohanan ini.
“Pada final tadi, kami benar-benar berperang dan berjuang habis-habisan, kami cuba memenangi perlawanan tapi tiada rezeki kami untuk mendapatkan pingat emas,” kata Syahir, selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun berkata, pemain sudah menunjukkan prestasi terbaik dan bangkit di set kedua.
“Dari segi pertahanan dan serangan, kita bangkit pada set kedua namun kontroversi berlaku melemahkan momentum pemain.
“Disebabkan kekecewaan pada set kedua itulah semangat pemain jatuh,” kata Ahmad Jais.
Beberapa keputusan kontroversi penjaga garisan menimbulkan rasa tidak puas hati pemain, seolah-olah terlalu menyebelahi pasukan lawan.
Begitupun, beliau berharap pemain tidak terlalu kecewa kerana beliau mahu skuad negara terus fokus kepada peinngkatan prestasi dari semasa ke semasa kerana banyak lagi kejohanan antarabangsa pada tahun hadapan.
“Kami sedar Thailand sememangnya mempunyai kekuatan dan kelebihan dari segi serangan dan pertahanan yang baik.”