SEJAK menyertai JDT Racing Team, pelumba utama, Hafizh Syahrin Abdullah bukan sahaja mendapat sokongan jentera dan krew pasukan yang hebat tetapi juga dia memperolehi akses kepada gimnasium serba lengkap milik Johor Darul Ta’zim di Padang Seri Gelam.

Hafizh bukan sahaja mempunyai akses di gimnasium tetapi dia juga menjalani sesi latihan bersama-sama pelatih peribadi DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sebanyak dua sesi sehari sekali gus menjadikannya atlet yang lebih berdaya saing.

Ini terbukti ketika perlumbaan Suzuka 8 Hours di Litar Suzuka, Jepun minggu lalu yang menyaksikan Hafizh menamatkan hampir 200 pusingan sepanjang minggu bersama-sama pasukan Ducati Team Kagayama.

Aksi Hafizh ketika perlumbaan Suzuka 8 Hours

Prinsipal pasukan, Steven Tan mengakui rejim latihan yang diterima pelumbanya itu di Pusat Latihan JDT banyak membantu Hafizh menjadi pelumba yang lebih baik dengan sokongan berterusan yang diterima.

“Hafizh melengkapkan hampir 200 pusingan sepanjang minggu perlumbaan di Suzuka dengan 80 daripadanya ketika dia terpaksa melakukan ‘double stint‘ untuk membawa jentera ke garisan penamat.

Ini terpaksa dilakukan kerana dua lagi rakan sepasukannya sudah keletihan dan mengalami kekejangan otot. Hafizh sangat bertuah kerana dia telah menjalani latihan yang cukup baik untuk membolehkan dia berada dalam keadaan yang baik,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

JDT Racing Team kini sudah tiba di Litar Antarabangsa Mandalika Pertamina, Lombok, Indonesia untuk mengharungi pusingan keempat Kejuaraan Asia Road Racing Championship 2024 dari 26 hingga 28 Julai.

Steven turut mengakui sasaran pasukan di Lombok adalah untuk mendapatkan perlumbaan terbaik bagi mempertahankan kedudukan Hafizh sebagai pendahulu keseluruhan kategori ASB1000 serta mahu merampas kedudukan teratas kategori pengeluar bersama Ducati.