ATLET Wilayah Persekutuan, Khor Jing Hong mencipta sensasi apabila bukan sahaja memenangi emas pertama sukan Olahraga tetapi juga berjaya memecahkan rekod 20 tahun Sukan Malaysia (SUKMA) acara 20km lumba jalan kaki di Stadium Sarawak pada Isnin.
Tambah manis, Jing Hong yang membuat penampilan pertamanya mencatatkan masa 1 jam 34 minit 38.20 saat sekali gus memadam rekod lama berusia 20 tahun milik Thiyagu Manoharan dari Perak yang mencatat 1 jam 34 minit 56.10s pada edisi 2004 di Negeri Sembilan.
Atlet berusia 19 tahun itu mengakui dia sedikit tertekan apabila menjadi atlet pertama beraksi untuk acara Olahraga dengan semua tumpuan terarah kepada dirinya untuk memenangi emas.
“Saya lega kerana semalam saya sangat tertekan sebab hari pertama, acara pertama dan saya pula sasarkan emas dan pecah rekod. Jadi semua mata tengok saya. Tapi semalam saya ada bercakap dengan jurulatih dan itu melegakan saya untuk turun beraksi dengan tenang,” katanya.
Pingat perak menjadi milik wakil Pulau Pinang Sriven Tan selepas mencatat 1 jam 38 minit 25.43s manakala C.Teban Raj dari Selangor yang mencatat masa 1 jam 48 minit 07.56s membawa pulang gangsa.
Sementara itu di venue yang sama, kontinjen Wilayah Persekutuan mendapat kegembiraan berganda apabila perejam lembing, Wei Jun Cheah memenangi emas dengan lontaran 56.53 meter mengatasi atlet Selangor dan Johor yang masing-masing memenangi perak dan gangsa.
Saingan olahraga bermula pada Isnin akan berlangsung selama lima hari dengan menawarkan keseluruhan 47 pingat emas.
Kredit Foto dan sumber: Bernama