PELUMBA Ducati Linovo Team yang juga juara bertahan MotoGP, Francesco Bagnaia berjaya memenangi perang minda pertama selepas merampas petak pertama untuk perlumbaan Sprint dan Grand Prix ketika sesi kelayakan Grand Prix MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang Petronas.

Bagnaia yang memanfaatkan sesi kelayakan 15 minit pada sebelah pagi mencatatkan masa terpantas 1 minit 56.337 saat yang juga rekod baharu litar meninggalkan pencabar terdekat, Jorge Martin 0.216 saat dibelakang.

Alex Marquez pula ketiga terpantas dan Franco Morbidello keempat dengan Marc Marquez kelima sementara pemenang tahun lalu, Enea Bastianini di tempat keenam terpantas untuk grid kedua-dua perlumbaan.

Keputusan sesi kelayakan Grand Prix MotoGP Malaysia 2024

“Catatan masa saya sangat menakjubkan dengan Jorge juga mencatat masa yang cukup baik dan kedua-dua kami mempunyai masa sepusingan yang cukup baik. Terima kasih kepada pasukan yang bekerja keras menyediakan jentera terbaik hari ini,” kata Bagnaia sejurus sesi kelayakan.

Sementara itu Martin sudah bersedia untuk memberikan segalanya pada perlumbaan Sprint dan menganggap saingannya bersama Bagnaia adalah ‘gila’ dan menakjubkan.

“Saya mencatat masa yang baik tetapi Pecco berjaya mengatasinya dan ini membuktikan pertarungan kami sangat gila tetapi saya sudah bersedia untuk berikan segalanya pada perlumbaan meskipun berdepan cuaca panas,” jelasnya.

Perlumbaan Sprint 10 pusingan akan memberikan 12 mata buat pemenang dengan sembilan mata diberikan kepada pelumba tempat kedua dan tujuh mata untuk tempat ketiga.