TERLALU menghormati pasukan lawan sehingga membuka banyak ruang buat tuan rumah mengundang padah apabila skuad hoki lelaki kebangsaan dibelasah India 5-0.
Skuad yang dimasukkan ke dalam program Road to Gold (RTG) itu dilihat mampu mengimbangi India yang berada di ranking keempat dunia, apabila boleh menguasai bola di separuh masa permainan, namun kelihatan kurang keberanian untuk memasuki kawasan D lawan.
Justeru, slot ke separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 belum ada buat Malaysian Tigers, sebaliknya tempahan sudah siap untuk India.
Skuad bimbingan A Arulselvaraj mula mempamerkan prestasi yang tidak menentu di kejohanan ini apabila tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-15 yang menyaksikan Karthi Selvam meledak gol padang.
Tekanan terus dipertingkatkan apabila India memperoleh dua gol dalam tempoh 10 minit, menerusi jaringan Hardik Singh dan Harmanpreet Singh, pada minit ke-32 dan 42.
Dua lagi gol India dijaringkan Gurjant Singh dan Jugraj Singh masing-masing pada miit ke-53 dan 54, melengkapkan lima gol tanpa balas.
“Keputusan ini membuktikan perbezaan India yang berada di ranking keempat dunia namun apa yang mengecewakan adalah, kita memberi mereka terlalu banyak ruang dan penghormatan.
“Perlawanan seterusnya (hari ini) menentang Jepun, kita perlu bermain dengan lebih yakin dan bertenaga untuk mencapai kemenangan.
“Kekalahan kepada India perlu diketepikan dan pemain hanya ada masa 16 jam untuk memproses pemulihan mental, emosi dan fizikal,” kata Arul.
Skuad negara kini menghuni tangga kedua saingan round robin dengan enam mata, kurang satu mata berbanding India, berpeluang ke separuh akhir sekiranya menewaskan Jepun hari ini.
Jepun pula sekadar mengumpul dua mata setakat ini selepas dua kali seri, 1-1 dengan India dan 3-3 ketika menentang Pakistan.
Mereka hanya tewas pada perlawanan pembukaan menentang Korea Selatan dengan keputusan 2-1.