PERLAWANAN akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022 pada Ahad akan menjadi aksi kali ke-13 menemukan kedua-dua pasukan dalam perlawanan bola sepak antarabangsa.
Menerusi rekod, Perancis hanya menang tiga kali dari 12 pertemuan sebelum ini dengan Argentina menang enam kali manakala tiga lagi perlawanan berakhir dengan keputusan seri.
Bagaimanapun pada pertemuan terakhir mereka di pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA Russia 2018, Perancis berjaya mengatasi Argentina 4-3 dengan Kylian Mbappe menjaringkan dua gol manakala Messi membuat dua bantuan jaringan.
Kali terakhir Argentina menewaskan Perancis adalah 13 tahun lalu pada 2009 dengan Messi berjaya meletakkan dirinya sebagai penjaring dalam kemenangan 2-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa.
Dari 12 pertemuan sebelum ini, Argentina berjaya menjaringkan 15 gol manakala Perancis pula dapat menjaringkan 11 gol sejak kedua-dua kuasa besar bola sepak dunia ini bertemu pada 1930.
Perlawanan Ahad nanti juga boleh dianggap sebagai pertembungan antara dua pemain kelab Paris Saint Germain, Kylian Mbappe dan Lionel Messi yang mana kedua-duanya diturunkan pada pertemuan terakhir empat tahun lalu.
Argentina dianggap pasukan pilihan namun Perancis sebagai juara bertahan Piala Dunia tahu apa yang perlu dilakukan bagi memastikan piala itu kekal di Paris dan tidak dibawa ke Buenos Aires.