TERENGGANU FC (TFC) mengalami kekalahan pertama di laman sendiri dalam semua pertandingan musim ini apabila tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super, Rabu malam.

Penguasaan JDT mula terserlah pada minit ke-11 menerusi percubaan leret Leandro Velazquez yang tepat ke arah penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

TFC melakukan serangan balas kurang seminit kemudian namun sepakan Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim dari dalam kotak penalti sekadar tersasar ke sebelah tepi.

Kubu tuan rumah nyaris diperangkap bola lontaran ke dalam oleh Matthew Davies yang menemui Bergson Da Silva malangnya rembatan penyerang itu menggegar tiang gol pada minit ke-29.

 

Bergson bagaimanapun tidak mensia-siakan umpanan jauh Afiq Fazail pada minit ke-31, melepaskan sepakan kencang menewaskan Rahadiazli untuk memecahkan kebuntuan.

JDT terus gah tiga minit selepas rehat apabila Fernando Forestieri berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum rembatan luar kotaknya menerjah jaring untuk gol kedua pelawat.

Tuan rumah berjaya mengurangkan defisit kelebihan JDT melalui sepakan percuma menarik Hakimi Abdullah menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-51 untuk menjadikan kedudukan 1-2.

TFC berpeluang menyamakan kedudukan malangnya percubaan Nik Mohd. Sharif disusuli tandukan Pape Diakite (m-70) dikeluarkan oleh Shane Lowry di atas garisan gol.

Kedudukan 2-1 berpihak JDT kekal sehingga tamat sekaligus membolehkan Harimau Selatan kebal di tangga pertama liga mengumpul 38 mata.