PENGENDALI Ulsan HD, Kim Pan-gon gembira kembali ke Malaysia selepas 100 hari tetapi dia tetap berasa bimbang untuk berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan keempat Liga Juara-Juara9 AFC Elite pada Selasa.

Pan-gon yang pernah menjadi kesayangan penyokong bola sepak tempatan kerana kejayaannya mengubah wajah Harimau Malaya bagaimanapun sedikit gementar kerana mengetahui Ulsan HD tidak mempunyai rekod yang baik apabila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim.

Menurut rekod, Ulsan HD tewas tiga kali di Iskandar Puteri pada 2022 dan 2023 dan Pan-gon kini kembali berhadapan Harimau Selatan yang menurutnya dibarisi pemain-pemain yang lebih berkualiti.

Kim Pan-gon sedikit gementar bertemu JDT di Stadium Sultan Ibrahim

“Saya sangat teruja untuk perlawanan esok bertemu JDT yang mana salah satu pasukan terbaik Asia Tenggara. Tahniah kepada Tunku Ismail kerana berjaya membina pasukan yang kuat ini dan harap mereka dapat teruskan aksi yang baik dan di kejohanan ini.

“Semua tahu betapa kuatnya JDT di laman sendiri dengan semua pasukan sukar dapat mata di sini. Sudah pasti ianya perlawanan yang sukar dan Ulsan juga mempunyai rekod kurang baik disini menjadikan saya sedikit gementar,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Disebalik rasa gementar, Pan-gon bagaimanapun gembira dapat kembali ke Malaysia untuk berjumpa para penyokong dan pemain-pemain yang pernah dibimbingnya dan mahu memberikan penyokong satu perlawanan yang cukup berkualiti tinggi.

Ulsan HD mahu mencari kemenangan pertama di Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25 

“Gembira dapat kembali ke sini kerana dapat berjumpa penyokong bola sepak dan pemain Malaysia yang saya sayangi dan harap dapat berikan perlawanan yang cukup baik untuk penyokong.

“Kami sangat kecewa dengan keputusan tiga perlawanan lepas oleh itu perlawanan ini sangat penting kerana untuk kekal bersaing dan kami mahu berikan perlawanan yang baik untuk penyokong serta mahu mencari tiga mata penuh,” jelasnya yang turut dihantui masalah kecederaan beberapa pemain utama.

Pan-gon sedar JDT bakal turun dengan filosofi menyerang tetapi dia hanya fokus kepada pasukannya untuk meraih tiga mata pertama dan dia turut memuji Arif Aiman yang dianggap bakal menjadi antara pemain terbaik di rantau Asia.

Arif Aiman bakal menjadi tumpuan ‘reunion’ bersama Kim Pan-gon

“Filosofi mereka sentiasa menyerang, menekan dan mahu mengawal permainan dan mereka lebih baik dari sebelum ini dan saya bangga dengan Arif Aiman yang tunjukkan kualiti dirinya di Asia. Dia semakin baik dan matang dan akan menjadi pemain yang bagus di Asia selepas ini,” ujarnya.

Ulsan HD mencari kemenangan pertama dalam ACLE musim ini dan kini menghuni tangga ke-12 dari 12 pasukan yang bertanding namun bukan mudah untuk berdepan JDT di Stadium Sultan Ibrahim.