TONGGAK utama skuad hoki negara, Mohd Fitri Saari mengakui bahawa dirinya memikul tanggungjawab besar dalam membantu barisan jurulatih untuk mencungkil bakat dan kekuatan sebenar para pemain muda.

Pemain berusia 31 tahun yang ditemui semasa sesi latihan pertamanya bersama jurulatih baharu, Sarjit Singh turut menjelaskan bahawa pemain-pemain muda tersebut mempunyai momentum yang cemerlang namun terdapat kekurangan dari segi pengalaman mereka.

Oleh itu, Fitri selaku pemain senior mengharapkan agar pemain-pemain tersebut terus berusaha untuk mempamerkan bakat dan kebolehan masing-masing demi melayakkan diri mereka untuk bersama dengan skuad Speedy Tigers.

“Saya berasa gembira kerana kembali dengan skuad kebangsaan, sekarang kita mempunyai lebih kurang 42 pemain dan saya harap pemain-pemain muda ini dapat menonjolkan kemahiran mereka untuk dipilih.

“Sememangnya ia satu tanggungjawab besar untuk pemain senior seperti saya, dan saya harap saya dapat pikul amanah ini dengan baik kerana bukan mudah untuk membimbing dan melatih mereka.

“Mereka sudah mempunyai tenaga yang baik tetapi mereka hanya kurang pengalaman, jadi kita akan kongsi perkara itu seterusnya membantu mereka terutama dari segi kekuatan mental dan fizikal,” ujarnya semasa sesi latihan rasmi hari pertama skuad hoki kebangsaan di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil pada Selasa.

Fitri ingin melakukan yang terbaik dalam Piala Sultan Azlan Shah pada April depan.

Fitri yang merupakan antara pemain senior dalam skuad  Speedy Tigers telah diletakkan harapan untuk menjadi tunjung utama para jurulatih bagi mengenal pasti bakat-bakat baharu dari pemain muda yang boleh diserap masuk ke dalam skuad utama kebangsaan.

Sementara itu, Fitri yang sudah tersisih selama tiga tahun daripada skuad kebangsaan untuk bersaing di Piala Sultan Azlan Shah sejak edisi 2019 telah meletakkan sasaran peribadi di kejohanan tersebut.

Menurutnya, misi balas dendam bermula untuk dirinya menghasilkan aksi terbaik dalam Piala Sultan Azlan Shah sejurus mendapatkan kedudukan di kelompok tiga terbaik pada kejohanan yang akan berlangsung pada 4 Mei depan.

Sebelum ini, skuad hoki Malaysia telah berjaya mengukuhkan prestasi cemerlang di Piala Sultan Azlan Shah selepas memenangi gelaran juara pada tahun 2022 dan naib juara buat lima tahun sebelumnya iaitu tahun 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.