SEORANG yang bergelar ayah adalah ketua untuk setiap sebuah keluarga. Pengorbanan seorang ayah sememangnya tiada dapat dipertikaikan lagi.

Kasih dan sayangnya yang mereka curahkan untuk anak-anak jarang dilihat namun dapat dirasai walau mereka tidak tunjukkan secara jelas.

Ini kisah benar yang terjadi dalam dunia sukan tanah air apabila Remi Ramli,48, seorang bapa kepada seorang atlet hoki bawah 12 tahun negeri Kedah yang kini sedang beraksi di kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) peringkat kebangsaan di Melaka.

Remi sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi kejayaan anaknya dan kisahnya pernah viral baru baru ini selepas menunggang motosikal dari Padang Serai ke Alor Setar hanya semata-mata mahu menemani anaknya Akif Kazim yang berusia 12 tahun untuk sesi pemilihan bagi pasukan hoki negeri Kedah.

Perjalanannya pula bukan dekat, perlu mengharungi jalan lama yang mengambil masa jaraknya 90 kilometer. FLASH SUKAN berjaya mendapatkan temubual eksklusif Remi sebentar tadi.

“Saya akan beri sebaik jiwa saya untuk anak saya. Ini sahaja kemampuan saya boleh bagi pada anak saya.

“Saya gembira pasukan kedah ke final. Tapi saya harus pulang ke Kulim sebab tak boleh ambil cuti lagi.

“Esok final saya doakan anak saya dan pasukan Kedah,” katanya yang bekerja di sebuah kilang di Kulim, Kedah.

Sambil menceritakan kisahnya yang sarat penuh emosi, Remi sempat membelikan glove untuk dipakai Akid, anak sulung dari tiga beradik sebelum pemilihan itu.

Sudah tertulis rezeki Akid akan terpilih mewakili Kedah, dan seperti biasa Remi buat hal lagi ! Dia mengambil cuti selama tiga hari dan kali ini bersiap untuk ‘kerja gila’ ke Melaka dengan menaiki motosikal.

Jaraknya 500.6 km yang mengambil masa lapan jam 21 minit. Untuk apa? Untuk Akif hero sulungnya yang akan beraksi di kejohanan MSSM.

Pendek kata, hujan panas semuanya ditempuh demi mahu melihat anaknya yang bermain di posisi penyerang membawa cabaran buat negeri jelapang padi di bumi hang Tuah. Sukan sebenarnya melepasi batas segalanya. Buat Akif…pengorbanan ayah ini hanya satu permulaan dalam karier.

Bagaikan mendapat tonik, pada perlawanan separuh akhir hari ini, Akid membantu dan bermain secara habis-habisan demi membantu negeri kelahirannya menang tipis mengatasi Perak 1-0.

Esok, Kedah akan bertemu Selangor yang garang membelasah Kelantan 8-0 bagi menempah slot ke final. Tetapi kali ini Akid ‘berseorangan’ tanpa kata-kara sorak dari Remi. Bapanya itu terpaksa pulang semula ke Kedah hari ini dengan motosikalnya, untuk meneruskan kembali kerjanya di kilang. Cuti dah tak boleh ambil lagi !

Timbul keraguan dalam hati Akid. Namun, semangat Akid tidak berakhir di situ. Dia harus mendengar dan mengambil semangat lagu bola negeri Kedah. “Yakinlah diri sendiri, berjuanglah sejiwa murni”…

Apakah kesudahannya ? Kita ramai-ramai tunggu esok keputusan terakhir di lapangan hoki.

Kesimpulannya mudah, tiada kata yang dapat menerangkan bagaimana ayah menyayangi kita. Mereka tak pandai menyusun ayat, mereka tak pandai meyakinkan kita melalui kata-kata. Hanya Tuhan yang mampu menilai semua pengorbanan ayah terhadap kita.

Kadang-kadang kita memang tak nampak semua perkara ini hinggalah kita dewasa.

Begitu banyak beban dan pengorbanan ayah tidak mungkin terucap dengan kata-kata kerana cintanya terhadap kita. Jadi, hargailah ayah kita walau apa pun sejarah kita dengan mereka.