PERUBAHAN besar dijangka membabitkan skuad renang negara apabila Persekutuan Renang Malaysia (MAS) mula mencari ketua jurulatih dan pengarah teknikal baharu yang selepas mengiklankan jawatan berkenaan di laman web Akuatik Dunia (WA).

Setiausaha Agung Mas, Andy Low berkata, setakat ini mereka sudah menerima lebih 20 permohonan untuk kedua-dua jawatan tersebut dan akan melakukan pemilihan berikutan ada yang memohon dengan jangkaan gaji tinggi.

“Selepas melihat justifikasi permohonan, kita akan membawa senarai ini kepada Majlis Sukan Negara (MSN) di Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) hujung bulan ini atau awal Disember,” katanya.

Setiausaha Kehormat MAS, Andy Low (kiri) mengesahkan Persekutuan Renang Malaysia memburu ketua jurulatih dan pengarah teknikal renang baharu.

Sebelum ini, MAS memiliki ketua jurulatih dan pengarah teknikal baharu di bahagian terjun.

“Semua ini sedang diuruskan oleh Nurul Huda Abdullah kerana beliau bertanggungjawab untuk bahagian renang, ia termasuk mengiklankan jawatan yang kita kehendaki di laman web WA,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan ketua jurulatih sebelum ini, Chris Martin, Andy mengakui bahawa pengendali kelahiran Amerika Syarikat itu masih lagi bekerja di bawah MAS.

“Kontrak beliau (Martin) akan berakhir tahun ini, jika tak dapat mana-mana tawaran dan beliau hendak sambung tugasan kejurulatihan berkemungkinan beliau akan bekerja di bawah ketua jurulatih baharu nanti.

“Semua bergantung kepada persetujuannya, kita masih belum membuat apa-apa keputusan,” katanya.

Nurul Huda Abdullah diberi tanggungjawab mengiklankan pencarian ketua jurulatih dan pengarah teknikal renang.

Skuad renang negara membawa pulang satu emas tiga perak dan empat gangsa ketika di Sukan Sea Kemboja 2023 Mei lalu.

Di Sukan Asia Hangzhou 2022 kemarau 21 tahun tidak meraih pingat di temasya berkenaan berterusan apabila pencapaian terbaik hanyalah melalui Khiew Hoe Yean yang menduduki tempat ke empat final 400 meter gaya bebas lelaki.