PELUMBA negara, Syarifuddin Azman, atau lebih dikenali sebagai Damok mengalami patah tulang rusuk kiri, dan akan terlepas dua perlumbaan (GP Itali dan GP Jerman) untuk memberi fokus pada proses pemulihan.

Damok terbabas ketika sesi latihan bebas FP2 di GP Itali, Mugello, semalam dan terus di bawa ke Hospital Borgo San Lorenzo untuk mendapat rawatan lanjut.

Berdasarkan pemeriksaan, Damok sah mengalami keretakan pada tulang rusuk kiri dan kini akan dipantau dari semasa ke semasa.

“Setakat ini Alhamdulillah, saya cuma ada kecederaan pada tulang rusuk saya yang hanya retak.

“Saya tak beraksi pada perlumbaan minggu ini dan harap dapat berlumba pada perlumbaan seterusnya. Saya perlu kembali dengan kuat dan pulih secepat mungkin. Saya harap semua mendoakan saya untuk cepat sembuh.

“Jangan lupa saksikan perlumbaan adik-adik saya di sini. Saya harap semua orang terus bagi sokongan ,” kata Damok.

Setakat ini, Damok sudah mengumpul lima mata untuk berada di kedudukan ke-22 daripada 29 pelumba, hasil menerusi penamat di tempat ke-11 di GP Argentina awal April lalu.