PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengakui terdapat kemungkinan bagi meletakkan Goh Sze Fei bergandingan dengan pemain beregu campuran negara, Choong Hon Jian.
Kemungkinan pasangan tersebut digandingkan buat kali pertama adalah menerusi pemerhatian staf kejurulatihan yang melihat Sze Fei dan Hon Jian serasi ketika beraksi di gelanggang.
“Saya telah berbincang dengan (jurulatih beregu lelaki) Tan Bin Shen serta Hoon Thien How dan mereka bersetuju dengan keputusan tersebut.
“Selepas ini, saya akan cuba berbincang dengan Nova Widianto dan mendapatkan pandangannya pula,” kata Rexy.
Bagaimanapun, sebelum sebarang keputusan dibuat, perbincangan lebih lanjut akan dilakukan.
Hon Jian kini bergandingan dengan Yap Ling dalam acara beregu campuran, turut memiliki pengalaman digandingkan bersama Kai Wun Tee dan Chen Tang Jie bagi kategori beregu lelaki.
“Kalau kita lihat dari umur Hon Jian, saya rasa ia bakal menjadi pendedahan terbaik buat dirinya jika bergandingan dengan Sze Fei. Pada ketika ini, saya melihat mereka telah mencapai 80 peratus ke 90 peratus keserasian bersama.
“Apabila kita meletakkan mereka bergandingan bersama untuk menentang Man Wei Chong-Kai Wun Tee, Sze Fei dan Hon Jian dilihat mempunyai chemistry yang baik dalam gelanggang.
“Selain itu, cara permainan Hon Jian mudah difahami Sze Fei yang bermain sebagai ‘playmaker‘,” ujarnya.
“Kita harus buat keputusan yang teliti kerana jika tidak dibuat sebaik mungkin, ia bakal mengganggu prestasi pemain,” tambahnya lagi.
Rexy mengesahkan gandingan Nur Izzuddin Rumsani serta Goh Sze Fei dipisahkan pada minggu lalu berikutan deretan keputusan buruk dan mengecewakan dalam setiap kejohanan yang disertainya.